OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Laporan
interim kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang
dikeluarkan Ahad lepas "tidak masuk akal", kata Tun Dr Mahathir Mohamad
yang mengaitkan insiden malang itu dengan wujudnya unsur "mainan
teknologi".
Bekas perdana menteri yang berkhidmat selama 22 tahun itu berkata,
mustahil pesawat penumpang seberat 230 tan itu berupaya hilang tanpa
dapat dikesan, merujuk pesawat Boeing itu yang dipercayai hilang di
selatan Lautan Hindi pada 8 Mac tahun lepas.
"Amat pelik pesawat berat 230 tan boleh hilang sampai tidak boleh jumpa.
"Saya masih tidak boleh terima segala laporan kerana saya tidak tahu,
dalam zaman komunikasi terbaik hari ini, kita tidak tahu mana hilang
pesawat itu," katanya ketika ditemui di Putrajaya hari ini.
"Saya khuatir ada permainan teknologi dalam perkara ini."
Pasukan bebas yang menyiasat insiden kehilangan pesawat MH370
mengeluarkan satu kenyataan interim pada Ahad, genap setahun selepas
kehilangan misteri pesawat tersebut.
Pasukan itu, diketuai bekas ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam
(DCA), Datuk Kok Soo Chon, mengeluarkan laporan tiga muka surat
bertujuan mengelakkan berlaku kemalangan atau insiden serupa pada masa
hadapan.
Kok berkata, pasukan penyiasat itu juga turut menemubual kira-kira 120
individu termasuk kakitangan MAS, DCA dan waris keluarga mangsa nahas
dan menganalisis semua data dan maklumat yang dikumpul.
Laporan interim penuh dan fakta maklumat berhubung siasatan MH370 boleh
diakses di laman web Kementerian Pengangkutan iaitu
http://www.mot.gov.my.
Awal hari ini, akhbar The Guardian melaporkan, saudara-mara penumpang dan anak kapal MH370 mengkritik laporan interim itu.
Laporan itu berkata mereka hanya mendedahkan satu fakta baharu, iaitu
bateri perakam data penerbangan (SSFDR), salah satu daripada 2 kotak
hitam, peranti pengesan bawah air (ULB) bagi pesawat itu tamat tempoh
kira-kira 14 bulan sebelum pesawat Boeing 777-200ER itu hilang tanpa
dikesan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Tetapi mereka mempersoalkan kepentingan dapatan itu, memandangkan ULB
itu mungkin tidak dapat dikesan pun pada kedalaman Lautan Hindi di mana
pesawat itu dikatakan menjunam jatuh.
Sarah Bajc, yang kehilangan pasangannya Philip Wood di atas kapal
terbang itu, mengkritik penyiasat kerana hanya menemuramah 120 orang.
Seorang lagi saudara yang enggan namanya disiarkan juga berkata, laporan itu "tidak berguna".
Intan Maizura Othman, yang suaminya pramugara Hazrin Hasnan terlibat
dalam kejadian itu berkata, beliau tidak bercadang membaca laporan itu
kerana ia tiada gunanya dalam usaha mencari kebenaran.
No comments:
Post a Comment