THE MALAYSIAN INSIDER
Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada rakyat
Malaysia supaya tidak mempersoalkan Islam dan hudud kerana ia boleh
mencetuskan tindak balas daripada Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan
Syria (Isis).
Laporan The Star online memetik Khalid sebagai berkata, anggota
pengawasan dan perisikan polis mendedahkan kumpulan itu merancang
melancarkan serangan dan polis sedang berusaha untuk mengurangkan risiko
bahaya.
"Kami tahu apa yang kumpulan itu mampu lakukan dan matlamatnya. Orang
ramai dinasihatkan untuk tidak hanya mengulas mengenai isu sensitif
kerana ia mengundang reaksi daripada mereka," katanya pada sidang media
hari ini.
"Dengan secara terbuka membincangkan isu sensitif seperti Islam dan
hudud, ia akan menjadikan mereka bersimpati. Oleh itu, akan ada tindakan
balas yang jika kita tidak berhati-hati," katanya
seperti dilaporkan
portal itu.
Ketua polis itu juga dipetik portal berita Malaysiakini sebagai berkata
beliau tidak menolak kemungkinan serangan keganasan seperti di Paris
berlaku di Malaysia berikutan komen terhadap hudud.
Portal itu turut memetik beliau sebagai berkata serangan itu boleh
dilakukan oleh penduduk tempatan yang "diracun atau dilatih" kumpulan
Isis atau militan asing yang mula menular ke dalam negara.
Amaran Khalid itu berikutan peguam hak asasi manusia dan pengarah
eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen membuat komen berhubung hudud
di Twitter.
Ketua polis negara sebelum ini memberi amaran, polis akan menyiasat
sesiapa yang membuat komen terhadap isu sensitif agama tetapi tidak
mempunyai kepakaran dalam hal itu.
Polis juga menyiasat stesen radio BFM dan penyampai radio berkenaan
Aisyah Tajuddin, selepas stesen itu menyiarkan video yang didakwa
mempersoalkan pelaksanaan hudud di Kelantan.
Militan Isis didakwa tertarik terhadap beberapa rakyat Malaysia dan
awal bulan ini Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Senior Asisten
Komisioner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata 61 warga Malaysia
dikesan berada di Syria untuk menyertai kumpulan militan berkenaan.
"Bilangan sebanyak 61 itu juga termasuk kanak-kanak seawal usia 14
tahun yang menyertai ahli keluarga di sana... manakala jumlah kematian
Malaysia di Syria sejak tahun lepas ialah 7 orang," katanya kepada
Bernama.
Ayob Khan berkata setakat ini sekurang-kurangnya 500 akaun Facebook
dikenal pasti menjalankan aktiviti menggalakkan, merekrut dan cuba untuk
menggalakkan rakyat Malaysia berjuang di Syria.
No comments:
Post a Comment