Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian
 
 
 
SHAH ALAM - Seandainya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir di sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung esok akan memberikan kelebihan buat BN.

Bagaimanapun, penganalisis politik, Sivamurugam Pandian berkata, ia tidak akan menjadi faktor yang boleh membantu BN mematahkan serangan PKR di persidangan nanti.

“Saya rasa tanpa Anwar sudah pasti ada kesannya dalam suasana dalam sidang Dewan Rakyat nanti. Ini kerana beliau dilihat sebagai perisai yang melindungi PR dan juga bagi PKR, DAP dan Pas.

“Walaupun (sebelum dipenjarakan) beliau dilihat masih gagal untuk tangani isu Selangor, hudud serta PBT, saya tidak tolak bahawa ketiadaan Anwar akan beri kelebihan kepada BN,” katanya ketika dihubungi Sinar Online hari ini.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar menolak permohonan Anwar untuk hadir ke sidang Parlimen.

Oleh yang demikian, satu perjumpaan antara Speaker  Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Ketua Whip Ahli Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul  akan berlangsung dalam masa terdekat bagi membincang kehadiran Anwar ke Parlimen.

Ditanya sama ada persembahan PR akan pudar warna tanpa kehadiran Anwar, Sivamurugam menjawab, PR mungkin sukar mengawal rentak dalam persidangan yang mengambil tempat di Parlimen, Kuala Lumpur esok.

“Saya rasa PR akan lemah kerana perbezaan ideologi politik yang ketara kebelakangan ini. Dengan adanya Anwar, ia terkawal tetapi jika tanpa Anwar,  mungkin sukar bagi PR untuk menyembunyikan perbezaan sesama mereka,” katanya lagi.