MALAYSIAKINI
Kedua-dua mereka sama muda dan sama popular. Mereka masih bertenaga dan
mempunyai penyokong untuk terus bergasak, tetapi itu bukan pilihan.
Malam ini, setelah hampir seminggu, Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul
Abidin dan penceramah popular Datuk Mohd Kazim Elias memilih untuk
berdamai.
Selepas meletus kontroversi 'hadis roti jala' beberapa hari lalu,
kedua-dua mereka malam ini masing-masing memuat naik gambar mesra dalam
sebuah acara makan malam di Kangar.
Ia antaranya paparkan mereka duduk semeja, bersalaman dan saling
berbalas senyuman dalam majlis yagn dihadiri Raja Muda Perlis Tuanku
Syed Faizuddin Jamalullail.
“Minum dan tersenyum.”
Begitu Dr Asri menyifatkan pertemuannya dengan Kazim yang sebelum ini
ditolaknya sebagai penceramah untuk program sempena keputeraan raja
Perlis.
“Kami minum dan makan dengan mesra sebagai saudara Muslim di kafe yang sedap menunya, Cafe Blackwood, Kangar,” tambahnya lagi.
Kazim pula tidak mengulas banyak dan hanya menyifatkan pertemuan di sebuah restoran itu sebagai “santai”.
Program itu turut dihadiri Yang Di-pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asri pada 4 Mac memuat naik kandungan surat rasminya yang menolak
Kazim, yang pernah ditawar menganggotai Majlis Tertinggi Umno, ekoran
didakwa “terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu”.
Asri juga memuatkan keratan buku Tuhan Sedang Menguji Kita karya Kazim
yang menunjukkan ustaz berstatus 'selebriti' itu berkata nabi pernah
menjamu "kurma dicelup tepung” dalam kenduri termurah baginda.
Manakala, menurut buku itu, kenduri Rasulullah yang paling mahal pula adalah roti jala dicelup dengan kuah kari.
Kazim, ustaz berstatus selebriti itu kemudian berkata tindakan Asri tidak adil dan memalukannya.
Jelasnya, beliau hanya membuat perbandingan bahawa di negara ini roti
jala yang dicecah dengan kuah kari masih boleh dijadikan hidangan pada
majlis kenduri.
No comments:
Post a Comment