MALAYSIAKINI
Penceramah popular Datuk Kazim Elias menyelar kembali Mufti Perlis Datuk
Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menolaknya sebagai penceramah susulan
kenyataannya tentang hadis "roti jala dicelup kuah kari”.
Malah, Kazim menyifatkan keputusan Jabatan Mufti Perlis yang tidak
bersetuju pemilihannya sebagai ahli panel forum perdana sempena
keputeraan Raja Perlis sebagai tindakan gopoh dan memalukan.
Ini kerana, Kazim berkata, dakwaan itu tidak sewajarnya dilakukan oleh Asri (kiri) sebagai mufti dan dibuat tanpa peluang memberikan penjelasan, lapor Utusan Malaysia.
“Saya dimaklumkan mengenai pembatalan jemputan saya ke majlis berkenaan
dua minggu lalu, namun saya tidak mahu menghebahkan perkara ini demi
menjaga air muka mereka yang berkaitan.
“Namun, apabila berlaku penyebaran surat tersebut, saya kesal kerana ini
tidak adil, saya tidak diberi peluang untuk menjawab tuduhan yang
dilemparkan.
“Selepas ini mungkin ada yang melabelkan saya penyebar hadis palsu dan
tidak lagi dijemput untuk mengadakan ceramah," katanya lagi seperti
dilaporkan akhbar Umno itu.
'Hanya perbandingan'
Sementara itu, Kazim juga menjelaskan kenyataan berkaitan hadis "roti
jala dicelup kuah kari" dan “kurma celup tepung” yang disampaikannya
hanya perbandingan.
Menurut Kazim, perbandingan itu dibuat kerana di Malaysia, roti jala
dicicah dengan kuah kari masih boleh dijadikan hidangan pada majlis
kenduri.
“Saya cuma kata roti jala pun boleh dijadikan hidangan dalam kenduri
masyarakat Islam untuk bagi orang faham," Kazim dipetik sebagai berkata
dalam akhbar Utusan Malaysia.
Sehubungan itu, Kazim melahirkan rasa kesal apabila surat daripada
Jabatan Mufti Perlis menyebut beliau sering terlibat dengan pembacaan
riwayat-riwayat palsu.
Katanya, ia seolah-olah menggambarkan beliau sering terlibat dengan penyebaran hadis yang salah.
"Jika benar dakwaan itu, saya mahu tahu di mana dan bila saya membacakan hadis-hadis palsu yang didakwa.
"Jika benar, saya sedia memberikan penjelasan,” katanya lagi seperti dilapor akhbar itu.
No comments:
Post a Comment