"Ini tidak boleh diterima. Pemimpin anda di penjara dan anda mahu agih ang pow," kata satu posting di sebuah laman Facebook dalam bahasa Cina yang menggesa wakil rakyat Pakatan Rakyat supaya mengingati matlamat asal perjuangan mereka.
Laman yang baru dibuat itu mendakwa wakil rakyat PKR tertentu menganjurkan majlis sambutan Tahun Baru Cina pada hari Sabtu ini ketika perhimpunan besar-besaran dirancang di Kuala Lumpur untuk menuntut pembebasan pemimpin Pakatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman lima tahun penjara atas sabitan tuduhan liwat.
Juga dipaparkan di laman Facebook itu adalah risalah yang menyatakan bahawa wakil DAP Johor akan menghadiri satu majlis pada hari Ahad.
"Tak pasti sama ada wakil rakyat Johor akan menghadiri perhimpunan tersebut atau sama ada mereka mengharapkan ia berakhir dalam tempoh yang singkat seperti SOP (prosedur operasi standard) dan supaya mereka boleh menjadualkan majlis pada hari berikutnya," kata posting yang lain.
SOP itu
dipercayai amalan yang sering menjadi bahan sindiran, iaitu "menghadiri
perhimpunan, ambil gambar, memuat naiknya di Facebook dan pulang".
Penganjur protes itu, sebuah gabungan yang menggelar diri mereka sebagai Kita Lawan, merancang untuk mengadakannya di luar pusat membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur dari pukul 4 petang Sabtu ini hingga tengah malam.
Selain daripada menuntut kebebasan ketua pembangkang itu, protes itu juga menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Kita Lawan menggesa semua wakil rakyat Pakatan menghadiri protes itu.
Bagaimanapun, semalam polis mengisytiharkan perhimpunan itu sebagai haram dan mereka yang mengambil bahagian boleh menghadapi kemungkinan ditangkap.
Oleh itu persoalannya ialah ketika pihak penganjur menyeru orang ramai menyertai protes itu, adakah mereka seperti Menteri Besar Selangor Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan mengambil risiko itu.
Protes yang diadakan semasa era Reformasi pada lewat tahun 90-an adalah berbeza. Pertaruhan kali ini adalah lebih tinggi.
Wakil rakyat mungkin secara automatik hilang kerusi mereka sekiranya mereka ditangkap kerana menyertai perhimpunan haram dan didapati bersalah. Undang-undang melarang mereka yang didenda lebih RM2,000 atau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada satu tahun, daripada menjadi wakil rakyat.
Mengulas isu ini, Setiausaha Penganjur DAP Anthony Loke (kiri) berkata walaupun ahli Parlimen dan ADUN parti itu digalakkan menghadiri protes itu, tetapi ia tidak diwajibkan.
"Kita perlu tunggu sehingga hari Sabtu. Barulah kita boleh tahu jumlah orang yang akan hadir. Oleh itu tidak sesuai bagi kami untuk membuat apa-apa andaian sekarang, "katanya kepada Malaysiakini.
Loke sendiri tidak akan menghadiri protes itu kerana mempunyai urusan lain yang perlu dikendalikan.
Kerajaan Pulau Pinang akan mengagihkan RM100 kepada warga emas hujung minggu ini – sumbangan wang tunai tahunan kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas - dan biasanya wakil rakyat akan berada di cawangan-cawangan Maybank untuk membantu memudahkan pengagihannya.
No comments:
Post a Comment