MALAYSIAKINI
Datuk Seri Najib Abdul Razak didesak melepaskan jawatannya sebagai
menteri kewangan sementara menunggu selesai siasatan terhadap syarikat
pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Naib presiden PAS Datuk Husam Musa juga berkata perdana menteri harus
berundur daripada jawatannya sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB,
syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang dilanda hutang RM42
bilion, sehingga siasatan itu selesai.
Bercakap kepada media selepas membuat aduan polis terhadap 1MDB di Kuala
Lumpur hari ini, Husam berkata penting bagi Najib berbuat demikian bagi
melancarkan proses siasatan.
"Dalam tempoh ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
harus menggantikan tempat Najib," katanya di luar balai polis Dang
Wangi.
Tambahnya, dalam laporan polis, beliau menggesa pihak berwajib menyiasat
bayaran RM2.6 bilion (AS$700 juta) yang dibuat oleh 1MDB kepada
syarikat Good Star Ltd di kepulauan Seychelles.
Husam berkata pihak berkuasa harus menyiasat Najib sebagai menteri
kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dan juga pihak pengurusan
syarikat terbabit.
No comments:
Post a Comment