Bagaimana kabinet telah mempunyai keyakinan
tiada bentuk salah laku?Adalah tidak adil bagi kabinet untuk membentuk
pendapat tersebut sebelum audit sebenar dijalankan
PETALING JAYA : Bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mencadangkan agar juruaudit antarabangsa bebas dilantik bagi mengkaji laporan audit tahunan Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengikut prosedur dan piawaian garis panduan audit antarabangsa.
Khairuddin berkata, walaupun 1MDB dan juruauditnya telah dipanggil untuk memberi taklimat kepada kabinet pada Rabu lalu, beliau berpendapat terlalu awal untuk menyatakan bahawa kabinet yakin tiada unsur salahlaku dalam audit akaun 1MDB.
“1MDB dan juruauditnya baru dipanggil untuk memberi taklimat dan akaun 1MDB belum diperiksa serta diaudit semula secara mendalam.
“Bagaimana kabinet boleh yakin bahawa tiada salah laku?Adalah tidak adil bagi kabinet untuk membentuk pendapat tersebut sebelum audit sebenar dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed menyambut baik arahan kabinet agar Jabatan Audit Negara mengaudit 1MDB.
Nur Jazlan turut berharap tiada campur tangan mana-mana pihak sewaktu siasatan Jabatan Audit Negara. Jabatan itu juga harus menentukan skop pengauditan tanpa membelakangkan lima perkara yang PAC mahu jabatan berkenaan tumpukan, pintanya.
Katanya lagi, lima perkara itu adalah sumber dana kewangan berjumlah RM2 bilion yang diperoleh 1MDB dalam menjelaskan pinjamannya terhadap beberapa bank tempatan, suntikan dana kewangan baru daripada Kementerian Kewangan (MoF) berjumlah RM3 bilion dan perjanjian pelaburan 1MDB dalam syarikat Petrosaudi.
Seterusnya, wang hasil pelaburan 1MDB di Pulau Cayman sama ada sudah dibawa balik ke Malaysia dan perubahan firma audit antarabangsa untuk meluluskan akaun 1MDB.
Khairuddin menambah, pada hakikatnya rakyat amat risau dengan cara pentadbiran dan perbelanjaan dana 1MDB melibatkan berbillion ringgit yang tidak telus.
Katanya, sekiranya kegagalan berlaku ke atas 1MDB, situasi itu pasti akan memberi satu kesan yang amat buruk kepada sistem ekonomi negara yang akhirnya akan membebankan rakyat.
Khairuddin turut menyokong lima asas yang dicadangkan oleh Nur Jazlan dan 1MDB tidak pernah menjawab akaun miliknya secara telus selama ini.
“Apabila persoalan rakyat tidak dijawab secara telus dan konkrit ianya sudah pasti akan meninggalkan satu persepsi negatif.. Apa susah sangat bagi 1MDB menjawab secara telus serta jujur akan semua soalan dari rakyat jelata?
“Setakat ini Arul Kanda hanya membuat kenyataan yang memutarbelitkan fakta semata-mata membuatkan rakyat semakin keliru,” katanya.
No comments:
Post a Comment