Oleh Shawaliah Hadir
SHAH ALAM: Bekas Pengarah Strategi MIC, Datuk Seri S Vell Paari
mempertikaikan keputusan presiden parti itu untuk mengadakan pemilihan
semula pelbagai peringkat kononnya sebagai usaha menyelesaikan isu
berbangkit yang tidak berkesudahan.
Ujarnya, keputusan Datuk Seri G.Palanivel itu hanya akan menambah masalah dan bukannya menyelesaikan krisis sedia ada.
"Kenapa sekarang baru terburu-buru nak adakan semula pemilihan baru
itu? Sebab dia sudah tahu dia sudah terperangkap dengan 800 cawangan
tidak sah itu.
"Dia sudah terperangkap, dia sudah terkena, sebab sehingga kini dia
tidak pernah menjawab tentang 800 cawangan tidak sah itu, dia tidak mahu
jawab tentang wang parti diguna untuk bayar... Dia diam sahaja,"
katanya kepada Antarapos.
Untuk rekod, sebelum ini, Ketua Pemuda MIC, Datuk S. A. Vikneswaran dan
bekas Bendahari Agung MIC, Datuk R. Ramanan mengemukakan aduan kepada
Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa Presiden MIC dipercayai menubuhkan 800
cawangan tidak sah.
Dalam masa sama Vell Pari berpendapat Palanivel sepatutnya menunggu
hasil perjumpaan dan perbincangan dengan Presiden Umno Datuk Seri Najib
Razak yang mengesyorkan untuk membantu mencara jalan penyelesaian
berkenaan krisis MIC ini.
Beliau dalam masa sama menyifatkan Presiden MIC itu sebagai individu
yang sukar dipercayai kerana sudah beberapa kali membuat pusingan U
dalam kenyataannya.
"ROS bagi tarikh kepada MIC, kalau kita tidak ikut apa arahan ROS sebelum 2 April, pendaftaran MIC akan dibatalkan.
"Tunggulah Presiden Umno sudah cakap akan bantu cari jalan penyelesaian.
"Dari dulu lagi semua tanya dan desak sepatutnya mengadakan pemilihan baru, tapi dia diam tidak buat apa-apa pun.
"Tapi setelah ROS keluarkan surat arahan kemudian dia pula kata ok akan
adakan pemilihan baru. Tapi lepas tu dia diam kembali," tegasnya.
Najib sebelum ini memberi jaminan akan mencari jalan penyelesaian bagi
membantu menamatkan kemelut MIC bersama-sama dengan Timbalannya, Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Untuk rekod, Palanivel pada Ahad menyatakan hasrat untuk mengadakan pemilihan baru bagi semua jawatan.
Beliau dilaporkan bakal berjumpa dengan dengan ROS bagi menyelesaikan
beberapa perkara dan mengadakan pemilihan di peringkat cawangan yang
dijangka diadakan pada Jun depan disusuli peringkat bahagian dan
lain-lain jawatan tertinggi.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Datuk Seri Dr S. Subramaniam tanpa
mengulas lanjut menyokong keputusan untuk mengadakan pemilihan semula
ini yang dijangka akan bermula pada Jun dan berakhir November tahun
ini.
"Inilah keputusan yang betul, kalau tidak semua pihak akan tidak berpuas hati lagi," ringkasnya.
Krisis dalaman MIC tercetus selepas ROS membatalkan pemilihan bagi
jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC)
dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka, pada November 2013.
Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, ROS mengarahkan MIC mengadakan
pemilihan semula bagi jawatan tersebut dalam tempoh 90 hari.
No comments:
Post a Comment