PETALING JAYA: Datuk Mustafa Ali akan mengadakan pertemuan empat mata
dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung
pertelingkahan beliau dengan Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng bersabit
isu pilihanraya untuk ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menurut Setiausaha Agung PAS itu, pertemuan itu adalah bagi membolehkan
beliau memberi maklumat terperinci mengenai kemelut berkenaan yang
menjadi duri dalam daging terbaru hubungan PAS-DAP.
"Saya akan berjumpa Datuk Seri Anwar dalam masa terdekat. Hanya saya dan beliau...tanpa orang lain termasuk Guan Eng.
"Dalam pertemuan itu nanti saya akan jelaskan apa yang sebenarnya berlaku," katanya kepada mStar Online.
Ahad lalu, Anwar menggesa Mustafa dan Guan Eng supaya menyelesaikan
perselisihan antara mereka secepat mungkin sebelum 10 Februari iaitu
tarikh Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusannya berhubung rayuan
terakhir beliau dalam kes sodominya.
Pada 28 Januari lalu, Mustafa menggelar Guan Eng bermulut celupar dan
berbohong serta mencabar Setiausaha Agung DAP untuk berdebat berhubung
isu pilihan raya PBT yang diperjuangkan DAP. Setakat ini Guan Eng belum
menyahut cabaran itu.
Guan Eng dilaporkan terlebih dahulu menuduh Mustafa berbohong kerana
mendakwa beliau (Mustafa) bersetuju dengan pilihan raya PBT sedangkan
pemimpin PAS itu menafikannya.
Mengulas lanjut Mustafa berkata, sehingga kini beliau belum menerima
sebarang maklum balas daripada Guan Eng berhubung cabarannya minggu
lalu.
"Tak ada...beliau atau wakilnya tidak menghubungi saya lagi. Saya masih menunggu," katanya.
No comments:
Post a Comment