KUALA LUMPUR: Serangan demi serangan terhadap kepimpinan Majlis Syura
Ulama dan Presiden PAS adalah merupakan cubaan untuk mensabotaj,
merungkai dan mempertikaikan kepemimpinan ulama yang selama ini menjadi
teras kekuatan parti tersebut.
Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk
Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, katanya perbuatan yang didalangi oleh
ahli parti sendiri itu akan menghancurkan PAS sekiranya ia tidak
dihentikan.
“Akhir-akhir ini kepemimpinan ulama yang menjadi teras kekuatan PAS dan
telah dilembagakan dalam perlembagaan PAS cuba disabotaj, dirungkai
serta dipertikai,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis Multaqa
Ulama SeMalaysia anjuran Dewan Ulama PAS.
Punca kepada masalah yang kian membarah sehingga menyaksikan
kepemimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang makin tergugat itu pula
dikaitkan dengan kepelbagaian aliran pemikiran ahli PAS sendiri yang
menyertai parti tersebut selepas era reformasi 1998.
Pengakuan itu yang hadir sehari selepas Abdul Hadi menuntut kesetiaan
selain mengingatkan kepada seluruh ahli PAS supaya jangan mengkhianati
jemaah, menimbulkan persoalan berapa lama kepemimpinan ulama dalam PAS
mampu bertahan daripada asakan kumpulan Anwarinas.
Menurutnya, Wala’ (ketaatan) sebahagian ahli PAS juga telah beralih kepada pakatan bukan lagi terhadap parti Islam.
“Sedangkan ketaatan itu adalah wajib kepada ketua dalam konteks Islam
selagi tidak bercanggah dengan syarak. Dalam hal ini kepada Presiden
PAS (tetapi) dalam konteks Pas, wala’ itu telah cuba dilanggar serta
diingkari oleh segelintir pemimpin dan juga ahli.
“Ahli PAS (hal ini berpunca) pascareformasi 1998 mempunyai pelbagai
pemikiran atau kecenderungan yang membawa kepada perpecahan dan serangan
ke atas Majlis Syura Ulama serta Presiden jika tidak dibendung segera
bakal membawa kehancuran kepada PAS,” katanya.
Semalam Abdul Hadi, yang kepimpinannya semakin tergugat terutamanya
selepas kematian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat berkata, tindakan sebahagian ahli PAS mengkhianati jemaah atau
berkhidmat kepada pihak lain hanya merugikan parti.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik ke laman Facebooknya, Presiden
PAS itu antara lain menegaskan bahawa wala’ kepada perjuangan Islam dan
jemaah seharusnya tidak berbelah-bahagi serta tidak boleh sama sekali
memesongkan ahli daripada melakukan kerja jemaah.
Pergeseran antara kumpulan ulama dengan pemimpin yang pro-Datuk Seri
Anwar Ibrahim bukan perkara baharu tetapi sejak beberapa bulan lalu
masalah tersebut semakin kritikal sehingga dipercayai berlaku kekecohan
dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin berkata, sebahagian ahli PAS kini
bukan sahaja terpikat dengan acuan kapitalis tetapi pemikiran liberal
dan sekular juga sudah mula meresap masuk secara perlahan-lahan ke dalam
Pas atas alasan mahukan keterbukaan.
“Strategi kemenangan gerakan Islam mula ditinjau dari sudut pandang
Barat dan pemikiran sekular. Keimanan tidak lagi menjadi teras kepada
pembentukan strategi,” katanya.
No comments:
Post a Comment