SYDNEY: Jabatan Imigresen Australia menjelaskan tiada sebarang
kelulusan diberikan untuk mana-mana temu ramah televisyen dengan bekas
komando polis Malaysia, Sirul Azhar Umar yang kini berada di pusat
tahanan Villawood di Sydney.
Jurucakap Menteri Imigresen Australia, Peter Dutton berkata, jabatan
itu secara umumnya tidak membenarkan temu ramah di dalam pusat tahanan
atas sebab-sebab operasi, menurut laporan The Sydney Morning Herald.
Sirul sebelum ini dilaporkan sedang berunding dengan stesen televisyen
Australia untuk satu temu ramah bagi mendedahkan individu yang
mengarahkannya membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Kelmarin, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar juga berkata parti
itu akan mengaturkan temu ramah secara langsung melalui telefon antara
media Malaysia dan Sirul, esok.
Menurut jurucakap Imigresen Australia, Sirul memerlukan kelulusan pihak
tertinggi untuk merakamkan temu bual bersama media di unit Blaxland di
Villawood yang mempunyai kawalan keselamatan maksimum, di mana dia
ditahan sejak ditangkap di Queensland pada 20 Januari lalu.
"Kami tidak menolak kemungkinan temu ramah boleh dilakukan pada masa
akan datang jika proses permohonan yang sepatutnya dipenuhi," kata
jurucakap itu.
Sirul yang dihukum gantung sampai mati kerana membunuh Altantuya kini
berdepan penahanan bagi tempoh tidak pasti atas kesalahan berkaitan
imigresen.
Ini kerana Austalia menolak permohonan ekstradisi Malaysia bagi
menghantar Sirul pulang kecuali jika kerajaan Malaysia memberi jaminan
Sirul tidak akan dihukum gantung apabila dikembalikan.
Hukuman gantung bertentangan dengan undang-undang di Australia.
No comments:
Post a Comment