Thursday, January 22, 2015

Urusan pekerja asing pada 'syarikat RM2' dipersoal

MALAYSIAKINI


 


PKR mempersoalkan penganugerahan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada sebuah syarikat swasta yang ada kaitan dengan seorang bekas menteri.

PKR juga tidak senang dengan tindakan KDN menyumberluarkan sistem melibatkan maklumat sensitif kepada swasta, yang dibimbangi  mengundang risiko keselamatan negara.

KDN sebelum ini mengumumkan, mulai 15 Januari lalu, semua pemeriksaan kesihatan pekerja asing di negara asal dan permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR) tidak boleh dibuat di kaunter Jabatan Imigresen lagi.

Ia sebaliknya perlu dilakukan sepenuhnya secara atas talian melalui sebuah syarikat yang dikatakan didaftar pada 17 November 2008.

Sedangkan, kata Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK) Lee Chean Chung, syarikat itu hanya “syarikat dua ringgit” yang tidak mempunyai rekod membangunkan sistem atas talian.

Beliau juga mempersoalkan peranan menteri dalam urus niaga itu.

“Mengapakah tugasan sepenting ini yang melibatkan maklumat penting pekerja asing boleh disumberluarkan kepada sebuah syarikat swasta?” katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, terdapat perkhidmatan yang boleh disumberluarkan kepada swasta tetapi bukan berkaitan pengawalan sempadan, imigresen dan keselamatan negara.

Azmi: Tiada perkara tak betul

Malaysiakini sedang cuba menghubungi menteri dan syarikat terbabit untuk mendapatkan ulasannya berhubung perkara itu.

The Malaysian Insider semalam melaporkan Tan Sri Azmi Khalid, salah seorang anggota Bestinet Sdn Bhd, sebagai berkata tiada perkara tidak betul dalam isu itu dan menolak ia boleh menjejaskan keselamatan negara.

Beliau bagaimanapun dilapor enggan mengulas lanjut buat dan akan menyentuhnya di masa lain.

Sementara itu, Lee juga mendakwa, menurut maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bestinet tidak menghantar laporan akaun selama empat tahun sejak 2010.

Tindakan itu, katanya, menyebabkannya diklasifikasi sebagai “dormant” atau tidak aktif.

“Ini memberikan gambaran wujudnya konflik kepentingan dan seolah-olah projek ini dianugerahkan atas hubungan dan rundingan dalaman.

“Apakah nilai kontrak tersebut serta apakah kaedah pembayaran dan siapa yang akan membayar kepada perkhidmatan Bestinet?
” soalnya.

Pemuda PKR juga menzahirkan rasa dukacitanya dengan siri penswastaan dan kontrak “monopoli” berterusan terhadap peranan dan fungsi KDN.

No comments: