MALAYSIAKINI
Lebih 300 rakyat China menjadikan Malaysia sebagai transit
sebelum ke negara ketiga dan seterusnya memasuki Syria dan Iraq untuk
menyertai kumpulan militan IS, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Timbalan Menteri
Keselamatan Awam China Meng Hongwei dalam pertemuan mereka di pejabat
Ahmad Zahid, hari ini.
Ahmad Zahid berkata Kuala Lumpur dan Beijing memandang berat isu ancaman
keselamatan dan komited untuk mengekang masalah itu secara lebih
teliti.
"Walaupun ada perjanjian antara Malaysia dan China untuk atasi masalah
keganasan dengan tindakan menangani keganasan, tapi masalah ini berat.
"Ini kerana kita dapati terdapat jalinan di peringkat antarabangsa
antara pengganas-pengganas dari China dengan pengganas-pengganas dari
negara lain di rantau Asia Tenggara," katanya kepada pemberita selepas
menerima kunjungan hormat Meng itu.
Ditanya mengenai kemungkinan kumpulan rakyat China itu mempunyai jalinan
dengan penduduk tempatan di negara ini, Ahmad Zahid berkata buat masa
ini tiada maklumat mengenainya diterima.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata buat masa ini belum ada
sebarang cadangan atau perbincangan untuk memberikan visa percuma kepada
pelancong dari negara lain kecuali China.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perutusan Khas
berkenaan perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara pada
Selasa, berkata pemberian visa secara percuma kepada pelancong
antaranya dari China bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi yang
seimbang, inklusif dan mampan.
Mengulas perkara itu, Ahmad Zahid berkata pelancong dari negara Tembok
Besar itu yang berhasrat datang ke Malaysia tetap perlu memohon visa.
"Visa tetap perlu dipohon. Tetapi yang dikecualikan (percuma) adalah
bayaran sebanyak 80 Yuan Renminbi yang dikenakan ketika ini.
Katanya kabinet memutuskan bahawa pengumuman rasmi mengenai pelaksanaan
pemberian visa percuma itu akan dibuat selepas semua peraturan dan
syarat-syarat diperhalusi oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
"Selepas itu kita akan umum secara rasmi di Kedutaan Malaysia di China dan semua Konsulat Jeneral Malaysia di China," katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment