Alat pemadam api meletup ketika mangsa sedang mengisi gas hingga menyebabkan mangsa maut akibat kecederaan di muka, dada dan perut.  
Alat pemadam api meletup ketika mangsa sedang mengisi gas hingga menyebabkan mangsa maut akibat kecederaan di muka, dada dan perut.


BIDOR - Seorang pekerja bengkel pembuatan aluminium, maut selepas mengalami kecederaan di muka, dada dan perut apabila alat pemadam api yang sedang dimasukkan gas meletup dalam satu kejadian, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, mangsa Law Kok Kong, 17, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tapah.

Katanya, pihaknya menerima aduan kejadian letupan di kedai membuat pintu pagar rumah di sini, dan  anggotanya bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan majikan mangsa, majikan tersebut telah mengarahkan mangsa menyimpan semua peralatan  sebelum naik ke tingkat atas.

“Kira-kira jam 1 petang semalam, majikan terdengar letupan kuat dari bawah dan mendapati mangsa terbaring di atas lantai.

“Menurut majikan, mangsa cedera  di mulut, dada dan perut sebelum dibawa ke hospital,” katanya.

Som Sak berkata,  menurut majikan, mangsa cuba mengisi gas argon iaitu gas untuk mengimpal aluminium ke dalam tong pemadam api yang telah diubahsuai.

Katanya, pihaknya tidak menolak  kemungkinan gas tersebut terlalu penuh lalu hingga menyebabkan ia meletup.

Menurutnya, pihaknya menerima makluman daripada Hospital Tapah mengatakan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti sebab kematian.

Sementara Ketua Balai Bomba dan Penyelamat  Bidor, A Ravi berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengatakan alat pemadam api meletup sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati mangsa sudah dibawa ke hospital.

"Bagaimanapun , anggotanya membuat pemantauan di tempat kejadian bagi memastikan persekitaran benar-benar selamat,” katanya.