KUALA LUMPUR - Sejumlah RM16.8 juta bagi tuntutan insurans hayat
dibayar kepada waris penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines
penerbangan MH370.
Dalam kenyataan hari ini, Life Insurance Association of Malaysia (LIAM)
berkata 185 polisi telah dikeluarkan oleh 14 buah syarikat insurans
hayat di Malaysia yang telah diselesaikan dari Mac 2014 sehingga kini.
"Syarikat insurans hayat menganggap kemalangan itu sebagai satu keadaan
luar biasa dan telah mengenepikan semua bukti kematian seawal Mac 2014
untuk memproses pembayaran tuntutan.
"Bagi polisi hayat, jumlah yang dibayar adalah berdasarkan jumlah yang
diinsuranskan," katanya dengan menyatakan simpati kepada anggota
keluarga dan waris mereka yang berada di dalam pesawat MH370.
"Kami memuji kerajaan atas usaha dan komitmen berterusan mereka dengan
negara-negara luar iaitu China, Australia dan lain-lain dalam mencari,
menyelamat dan menyiasat MH370 untuk mengakhiri tragedi malang ini,"
katanya.
Syarikat insurans hayat yang terlibat ialah AIA Bhd, Allianz Life
Insurance Malaysia Bhd, AmLife Insurance Bhd, AXA AFFIN Life Insurance
Bhd, Etiqa Insurance Bhd, Gibraltar BSN Life Bhd, Great Eastern Life
Assurance (M) Bhd, Hong Leong Assurance Bhd, Manulife Insurance Bhd,
MCIS Insurance Bhd, Prudential Assurance Malaysia Bhd, Sun Life Malaysia
Assurance Bhd, Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd dan Zurich
Insurance Malaysia Bhd. - Bernama
No comments:
Post a Comment