MALAYSIAKINI
Seorang penganggur mengaku bersalah mencuri tiga utas jam
tangan di sebuah pasar raya di ibu negara tiga hari lepas, dengan alasan
melakukan perbuatan itu disebabkan kekurangan wang untuk membeli ubat.
Khairul Nizam Ahmad, 44, yang mendakwa menghidap Hepatitis A, B dan C,
kencing manis serta darah tinggi, memberitahu Majistret Ashraf Razali
Abdul Manan, dia kekurangan RM150 lagi untuk membeli ubat.
"Pihak hospital hanya memberi 30 biji ubat sebulan secara percuma,
tetapi saya kena telan 60 biji ubat sebulan," katanya ketika rayuan
supaya diringankan hukuman penjara tujuh hari yang dikenakan
terhadapnya.
Bagaimanapun, tertuduh gagal mengemukakan laporan perubatan daripada
pihak hospital selepas mahkamah memintanya berbuat demikian.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada hari yang sama (18 Jan).
Khairul Nizam mengaku bersalah mencuri jam tangan jenama G-Shock, yang
kesemuanya bernilai RM119.70, milik Mohamed Mydin Holding Bhd, Tingkat
1, Pasaraya Mydin Bangunan Sinar Kota, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur
pada pukul 11.36 pagi, 18 Jan lepas.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon
mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan kesalahan yang
dilakukan adalah berat dan mengambil kira kejadian curi banyak berlaku
di pasar raya itu.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian Khairul Nizam ditangkap apabila
alat sensormatik berbunyi ketika dia melalui pintu keluar pasar raya.
Pengawal keselamatan yang melakukan pemeriksaan ke atas Khairul Nizam
menjumpai tiga utas jam tangan di dalam poket seluar tertuduh bersama
'tag alarm' yang telah dipotong.-Bernama
No comments:
Post a Comment