OLEH JAMILAH KAMARUDIN
Majlis Fatwa
Kebangsaan hari ini digesa mengeluarkan hukum melabelkan Pertubuhan
Pribumi Perkasa (Perkasa) sebagai "golongan pelampau dan sesat" ekoran
tindakan agresif mereka menceroboh tapak pembinaan kondominium mewah
Datum Jelatek di Keramat, Ahad lalu.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata tindakan pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) itu menjatuhkan imej Melayu dan Islam, dan
bertentangan dengan ajaran agama.
"Saya nak Majlis Fatwa keluarkan fatwa yang Perkasa ini NGO yang
melampau dan sesat dan bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah supaya imej
Islam dijaga, dan orang seperti ini tidak lagi dibenarkan merosakkan
imej Islam," katanya pada satu sidang media di pejabatnya di Shah Alam.
Khalid berkata, Majlis Fatwa termasuk Jabatan Agama Islam Selangor
(Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) perlu menyatakan pendirian
tegas menangani masalah perkauman yang ditimbulkan Perkasa berlandaskan
hujah tindakan mereka ditolak oleh Islam.
"Saya tahu Perkasa itu Islam. Kalau tindakan mereka betul, kita minta
Majlis Fatwa kata betul. Kalau salah, kata salah," katanya.
Ahli Parlimen Shah Alam itu pada masa sama mempersoalkan tindakan
berdiam diri Perkasa terhadap nasib tanah Melayu di negeri pimpinan
Barisan Nasional (BN) di Johor seperti projek Iskandar Malaysia.
"(Ia satu) sentimen perkauman yang sempit dan songsang, kerana agenda
politik yang nak dibawa Perkasa dalam usaha membantu Umno-BN,
(mengatakan) kononnya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) ini tak mesra
Bumiputera.
"Dia ingat kerajaan PR macam BN, sedangkan Perbadanan Kemajuan Negeri
Selangor (PKNS) dah ada garis panduan yang jelas," katanya merujuk
projek itu yang dibangunkan Datumcorp International (DCI), anak syarikat
milik penuh PKNS.
Ahad lepas, kira-kira 100 penduduk sekitar Taman Keramat berarak ke
tapak projek itu dan bertindak memecahkan tembok zink, manakala
sesetengah mereka meluru masuk ke dalam tapak projek. Pada mulanya,
kumpulan tersebut berarak dengan aman tetapi kemudian bertukar menjadi
agresif.
Projek Datum Jelatek dibantah penduduk tempatan yang mengatakan ia
bertujuan menukar kawasan majoriti Melayu itu menjadi "Chinese District"
kerana projek kondominium itu didakwa hanya mampu dimiliki kaum Cina
dan warga asing dari China.
PKNS kemudian mengesahkan semua 674 unit rumah Datum Jelatek yang
disediakan didaftarkan kepada pembeli Bumiputera, sekaligus menafikan
dakwaan golongan Melayu dipinggirkan.
Pengurus Besar PKNS Azlan Md Alifiah berkata, seramai 1,097 Bumiputera
sudah berdaftar sebagai pembeli, melebihi jumlah unit yang disediakan.
Sebelum ini, badan bukan kerajaan memperjuangkan hak wanita, Sisters In
Islam (SIS) difatwakan Mais sebagai pertubuhan haram kerana didakwa
menyebarkan fahaman agama liberal dan pluralisme.
SIS kemudiannya memfailkan semakan kehakiman terhadap Mais,
Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor yang berkuasa
merampas penerbitan SIS dan menyekat penyebarannya di laman sosial.
No comments:
Post a Comment