DATUK MUSTAFA ALI
Pertamanya saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Anthony Loke (bawah), setiausaha organisasi DAP kerana mengakui dan mengesahkan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan tidak termasuk dalam polisi bersama Pakatan Rakyat.
Premis perbincangan kita sebenarnya bukan isu demokrasi tetapi pendirian DAP yang tidak konsisten tentang polisi bersama.
Ini kerana banyak lagi isu demokrasi yang belum selesai jika kita mahu bincangkan isu ini.
Sepanjang
masa DAP menyatakan bahawa sebarang isu yang tidak termasuk dalam
polisi bersama dan tidak dipersetujui oleh pimpinan tertinggi Pakatan
tidak boleh dilaksanakan.
Isu kerajaan tempatan adalah contoh tentang sikap DAP yang tidak konsisten dalam hal ini.
Dalam kes hudud yang tidak termasuk dalam polisi bersama, DAP
mati-matian berkata, ia tidak boleh dilaksanakan tetapi dalam kes
kerajaan tempatan yang juga tidak termasuk dalam polisi bersama ia
diteruskan oleh kerajaan Pulau Pinang.
Ini yang menjadi persoalan.
Pendirian pemimpin Pakatan berkaitan isu kerajaan tempatan jelas, ia tidak mempunyai persetujuan bersama untuk dilaksanakan.
Ini boleh dibuktikan daripada perkara yang sama dikemukakan oleh Teresa
Kok sewaktu menjadi pengerusi DAP Selangor yang mengemukakan isu
pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Selangor.
Angkuh bila ada majoriti
Pendirian yang diambil oleh pimpinan Pakatan dalam
mesyuarat-mesyuaratnya dalam isu ini jelas menolaknya sehingga ia
dibincangkan bersama oleh ketiga-tiga parti di peringkat negeri.
Sehingga ini tiada sebarang keputusan dibuat oleh Pakatan di peringkat negeri.
Jelas
tiada persetujuan di kalangan pimpinan. Tetapi dalam kes Pulau Pinang
kerajaan DAP tanpa merujuk kepada pimpinan pusat, ia terus dilaksanakan.
Ini yang menjadi persoalannya. Apa sebabnya, kerana mereka ada majoriti dalam DUN Pulau Pinang.
Ini adalah gambaran daripada sikap arogan atau angkuh yang ditunjukkan
oleh pemimpin DAP apabila mereka memperoleh kuasa majoriti.
Hal ini juga dimanisfestasi oleh pimpinan DAP Sarawak yang membuat
kenyataan, tidak perlu kerjasama PAS hatta PKR sekalipun hanya kerana
DAP paling kuat di Sarawak.
Sifat arogan sebagaimana yang ditunjukkan oleh sebahagian pemimpin DAP
ini satu amalan yang tidak baik dalam konteks kerjasama politik
sekarang.
Oleh itu saya menyeru kepada pemimpin DAP supaya jangan meneruskan
amalan dan sikap seperti ini kerana sikap angkuh dan arogan ini
bercanggah dengan amalan dan semangat setiakawan dalam kerjasama ini.
DATUK MUSTAFA ALI setiausaha agung PAS.
No comments:
Post a Comment