MALAYSIAKINI
LAPORAN KHAS Jauh di
kawasan pedalaman Kelantan yang dilanda banjir baru-baru ini, terdapat
sekumpulan masyarakat Orang Asli yang sudah berhari-hari menunggu
bantuan makanan dan bantuan pasca banjir.
Malaysiakini menyertai sepasukan relawan Mencari dan Menyelamat
Yayasan Bantuan Kecemasan Bencana Malaysia (MEDRF) yang sudah tiga kali
menghantar bantuan kepada komuniti ini.
Namun, sebahagian besar daripada yang terkesan dengan bencana ini belum lagi menerima bantuan.
Di dalam kawasan hutan Gua Musang ini terdapat 14 buah kampung dengan lebih 2,000 orang penduduk.
Kebanyakan laluan masuk tersekat akibat tanah runtuh, atau jambatan yang menyeberangi jalan dihanyutkan arus deras banjir.
Mangsa banjir ini bukan sahaja lapar dan hiba malah ramai kehilangan tempat tinggal sejak 22 Disember.
Kami mendirikan khemah pangkalan kami di Kuala Betis, dan kemudian
bergerak sejauh 20 kilometer ke kawasan pedalaman menuju Kampung Tohoi.
Pada hari-hari biasa, perjalanan ini akan mengambil masa kurang dari satu jam jika menaiki kenderaan yang tahan lasak.
Namun
dengan cuaca yang tidak menyebelahi kami, dan banjir baru sahaja
melanda kawasan ini, kami nampaknya bakal berdepan tempoh perjalanan
yang panjang.
Khemah pangkalan di Kampung Bawek menyimpan lebih daripada 20 tan bekalan bantuan yang didermakan pelbagai NGO dan orang ramai.
Sewaktu kami hampir bertolak, sekumpulan lelaki Orang Asli tiba dengan motosikal EX5.
Seorang daripada mereka memberitahu kami yang mereka telah menghabiskan
selama 24 jam di atas jalan untuk sampai ke kem itu apabila mengetahui
kami membawa bekalan.
Semua 23 orang daripada kumpulan ini memunggah kampit beras, tin gasolin
dan barangan keperluan lain ke atas motosikal mereka dan kembali ke
kampung mereka.
Mereka akan terus melakukan perkara yang sama ini setiap hari demi
memastikan komuniti mereka tidak menderita akibat kekurangan bekalan
makanan dan barangan keperluan lain.
Ikat perut tahan lapar
Dengan hanya berbekalkan mi segera dalam cawan untuk mengisi perut, kami
menuju ke Kampung Tohoi, yang terletak sejauh sejam perjalanan pada
hari-hari biasa.
Namun dalam keadaan sebegini, perjalanannya memakan masa setengah hari.
Kami
seramai 12 orang bergerak menggunakan tiga kenderaan pacuan empat roda
(4WD). Menyertai kumpulan ini adalah satu-satunya doktor, Dr Rashidi
Mohamed Pakir Mohamed dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM).
Rashidi bukan wajah yang asing di kalangan relawan sewaktu bencana.
Beliau membawa bersamanya sekarung pengalaman melakukan kerja-kerja
pemulihan pasca banjir besar di Kota Davao, Filipina baru-baru ini.
Rupa muka bumi yang kami lalui bukan sahaja berbahaya, ia malah mustahil dilalui melainkan dengan kenderaan 4WD dan motosikal.
Selepas hampir dua jam bergerak, kami sampai ke satu jambatan utama yang sepatutnya menjadi penghubung ke Kampung Tohoi.
Namun jangkaan kami itu ternyata silap.
No comments:
Post a Comment