MALAYSIAKINI
Umno perlu berubah dan menjuarai isu-isu rakyat untuk kekal relevan
dalam arena politik tanah air berbanding terus bernostalgia dengan
cerita-cerita kejayaan parti, kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno
Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Beliau berkata lebih tumpuan perlu diberikan kepada pengundi di kawasan
bandar memandangkan Umno hampir 'tidak relevan' di situ berbanding luar
bandar yang menyaksikan peningkatan sokongan kepada parti itu pada
Pilihan Raya Umum ke-13, Mei tahun lepas.
Syed Ali berkata Umno perlu berterusan menyentuh kepentingan rakyat jika
mahu mendapat sokongan khususnya daripada pengundi Melayu.
"Sokongan orang Melayu terutama di kawasan bandar semakin terhakis yang
berpunca daripada ketidakupayaan Umno meyakinkan rakyat berhubung dengan
pelbagai isu semasa. Barangkali di bandar, sikap pengundi dipengaruhi
oleh sogokkan isu politik semasa yang sering dilakukan parti
pembangkang, dan gagal pula ditangani oleh Umno secara berkesan.
"Ini bermakna kita perlu lebih agresif... dan lebih bersifat terbuka
untuk menerima keahlian daripada mereka yang mempunyai latar belakang
profesional. Dengan cara itu, barulah Umno boleh diremajakan dan
bersemangat, untuk kembali diterima rakyat," katanya kepada Bernama
semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Presiden Umno Datuk Seri
Najib Tun Razak pada Sabtu lepas yang menggesa Umno Selangor supaya
berani mengatur strategi baharu dan membuat perubahan minda jika mahu
menawan semula negeri itu.
Perdana menteri turut menggariskan tiga realiti yang perlu Umno Selangor
terima, iaitu kedudukan Umno sebagai pembangkang di Selangor, kedudukan
strategik Selangor sebagai pusat sosio-ekonomi yang rancak dan hakikat
ia perlu berusaha menawan sokongan pengundi bandar serta pinggir bandar.
Syed Ali, yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras, berkata tidak salah
untuk memetik kejayaan Umno dan Barisan Nasional (BN) di masa lampau
jika ia mampu menyuntik semangat pemimpin untuk bekerja keras demi
kejayaan parti.
"Jika awak bercerita kepada rakyat tentang jasa pemimpin terdahulu
contohnya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi sekarang
apa pula jasa kita kepada rakyat? Tanyalah diri.
"Saya bukan nak hina Umno, tetapi saya mahu Umno terus menjadi denyut
nadi orang Melayu. Dalam politik ada dua kategori pemimpin, satu yang
benar-benar yang mahu berkhidmat demi rakyat dan satu lagi yang cari
makan. Nilai di mana diri kita," tegasnya.
Justeru, Syed Ali berkata Perhimpunan Agung Umno pada 25 hingga 29
November ini perlu dijadikan medium untuk melonjakkan semula harapan
rakyat dan anggota parti, sekaligus memperkukuhkan iltizam bagi
memastikan parti terus mendapat sokongan. Bernama
No comments:
Post a Comment