Roketkini.com
GELANG PATAH: : Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014
yang berlangsung sepanjang hujung minggu ini tidak lebih sekadar
pertunjukan politik kotor yang memupuk ketakutan, kebencian dan
pembohongan, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
“Politik ketakutan, kebencian dan pembohongan dengan rutin menghentam orang bukan Melayu amat merbahaya kepada pembinaan negara.
“Malah mereka hanya memupuk mentaliti ‘terjajah’, tanpa
membenarkan pemikiran rasional dan pertanyaan tentang mengapa selepas 57
UMNO memerintah, Melayu dan Islam masih diancam,” kata Kit Siang dalam
program ‘Dialog Kedai Kopi’ di Gelang Patah, semalam.
“Jika selama lebih lima dekad pemerintahan UMNO hanya
memburukkan kedudukan Melayu dan Islam, maka jawapannya adalah
menyingkirkan UMNO dari Putrajaya, bukannya mengekalkan mereka,” katanya
lagi.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, PAU sekali lagi menjadi
medan UMNO menghentam kaum lain. Kali ini, perwakilan dari Pulau Pinang
Datuk Musa Sheikh Fadzir mendesak slogan ’1Malaysia’ ditukar kepada
’1Melayu’.
Masyarakat Cina menerima hentaman paling teruk, apabila
perwakilan Wanita UMNO Kedah Datuk Mashitah Ibrahim memfitnah komuniti
Cina di Kuala Kedah membakar naskah Al-Quran, manakala wakil dari Pulau
Pinang Datuk Mohd Zaidi Said menuduh kejayaan masyarakat Cina di negeri
itu kerana kegiatan haram dan jenayah.
Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, fitnah Mashitah
adalah contoh terburuk pembohongan yang berlaku sepanjang perhimpunan
itu
“Lebih teruk, beliau tidak menunjukkan rasa kesal selepas
diberitahu bahawa Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir sendiri
menyatakan apa yang berlaku sebenarnya adalah individu Melayu kurang
siuman mengoyak naskah Al-Quran, bukan membakarnya,” katanya.
Jumaat lalu, DAP telah membuat laporan polis berhubung fitnah jahat itu.
Namun ketika mengulas tindakan DAP itu, Mashitah dengan angkuh mencabar agar DAP menyamannya.
“Seperti pemimpin UMNO lain, Mashitah yakin bahawa beliau
kebal untuk membuat kenyataan menghasut yang mampu merosakkan hubungan
antara kaum dan agama.
“Jika pemimpin DAP dan Pakatan yang melakukannya, sudah
pasti polis akan mengambil tindakan dalam masa 24 jam,” ujar Kit Siang. –
Roketkini.com
No comments:
Post a Comment