MALAYSIAKINI
Sebuah firma perundangan berkata pembayaran pampasan dan ex-gratia
kepada sekumpulan pembantu politik dan kakitangan bekas Menteri Besar
Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah amalan pekerjaan yang
biasa.
Bon Advocates, yang bertindak bagi pihak Abdul Khalid, berkata apabila
persetujuan dicapai untuk penamatan awal kontrak bersama seorang
pekerja, sejumlah wang yang dipersetujui dibayar sebagai pampasan.
"Jumlah yang dibayar biasanya ialah baki terma kontrak yang belum tamat
dan jumlah ex-gratia atas budi bicara bagi perkhidmatan yang diberikan.
"Dalam hal ini, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri
adalah sebahagian daripada proses membuat keputusan," kata firma guaman
itu dalam kenyataan semalam.
Lapan pegawai kontrak bekas Menteri Besar yang dilantik oleh Menteri
Besar Diperbadankan (MBI) Selangor dilaporkan menerima pampasan
berjumlah sehingga RM2.3 juta, yang disifatkan oleh beberapa pihak
termasuk Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad sebagai tidak
munasabah.
Pembayaran itu dibuat pada akhir tempoh perkhidmatan Abdul Khalid
sebelum Mohamed Azmin Ali mengambil alih jawatan Menteri Besar pada 23
September.
Mohamed Azmin dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau tidak membantah
jika Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor
(SELCAT) mahu menyiasat isu itu.
Beliau juga dilaporkan berkata bahawa mesyuarat majlis eksekutif negeri
tidak mempunyai kuasa untuk menentukan jumlah pampasan atau gratuiti
untuk pegawai MBI dan kaedah pembayaran diputuskan oleh lembaga MBI yang
dipengerusikan oleh Abdul Khalid sebagai bekas menteri besar.
Dalam hubungan ini, Bon Advocates berkata anak guamnya menyambut baik
audit negeri dan siasatan dijalankan berhubung perkara itu.
"Beliau (Abdul Khalid) akan bekerjasama untuk membantu dalam apa-apa persoalan yang mungkin timbul," kata firma guaman itu.
- Bernama
No comments:
Post a Comment