PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Rabu
memberi jaminan bekalan lembu hidup yang diimport sempena sambutan
Aidiladha Ahad ini adalah sihat dan bersih daripada sebarang penyakit.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jaminan itu
diberikan bagi mengelak pengguna berasa khuatir akan tahap kesihatan
lembu import terutamanya berkaitan penyakit kuku dan mulut.
"Lembu-lembu yang diimport biasanya akan diperiksa tahap kesihatannya
terlebih dahulu sebelum dibawa masuk dan kemudian akan dikuarantinkan
selama 10 hari," katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat
Duta Brazil ke Malaysia, Madam Maria Auxiliadora Figueiredo, di
pejabatnya di sini, Rabu.
"Kita memang sentiasa pantau lembu-lembu yang dibawa masuk ke negara
ini, dan kebanyakan lembu yang gagal dibawa masuk ke sini rata-ratanya
kerana menghidap penyakit kuku dan mulut," katanya.
Katanya, kementerian turut menempatkan sebanyak 361 pegawai bagi
memantau tahap kesihatan dan proses sembelihan lembu-lembu import
terbabit.
Separuh daripada 25,000 ekor lembu yang disediakan sebagai bekalan
sempena Aidiladha pada tahun ini diimport dari Myanmar, Thailand dan
Australia.
Sementara itu, kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan
kerjasama dua hala bidang pertanian antara Malaysia dan Brazil adalah
menggalakkan dengan kemungkinan untuk pertumbuhan dalam perdagangan
pertanian yang tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan