shahbudindotcom
Di
mana-mana ketika ini orangramai membicarakan apakah nasib Anwar nanti.
Apakah beliau akan dikekalkan bersalah sepertimana keputusan Mahkamah
Rayuan sebelum ini yang menjatuhkannya hukuman lima tahun penjara atau
akan didapati tidak bersalah dan dibebaskan?
Walaupun
yang akan menentukan bersalah atau tidaknya Anwar adalah lima hakim
yang arif lagi bijaksana setelah mendengar hujah-hujah pendakwa yang
diketuai oleh Shafee Abdullah serta peguambela Sulaiman Abdullah, tetapi
rata-rata orangramai mulai meneropong keputusan yang bakal diambil ini
dari sudut kemahuan Putrajaya dan Seri Perdana.
Baik
orangramai, pemimpin UMNO, pembangkang, ahli perniagaan, anak-anak muda
dan sebagainya tetap melihat semuanya bergantung kepada kemahuan serta
kata putus daripada Najib Razak selaku Perdana Menteri.
Maknanya,
dari segi keputusannya ia lebih dilihat dan ditanggapi dari sudut
politik semata-mata berbanding undang-undang. Dalam ertikata lain, kalau
kering hati Najib, ke penjaralah Anwar tetapi jika lembut hatinya,
bebaslah Anwar.
Malah ada surirumah sepenuh
masa yang tidak memiliki telefon pintar turut mengeluh, "Kalau bersalah,
sampainya hati Najib memenjarakan Anwar sedangkan mereka pernah
bersabahat baik suatu ketika dahulu."
Bagi
kalangan kebanyakan pimpinan UMNO, ramai yang yakin Anwar akan didapati
bersalah dan menghuni penjara sekali lagi kerana itulah satu-satunya
jalan yang mereka lihat boleh menentukan survival Najib dan BN dalam
pilihanraya akan datang.
Dengan Anwar berada di
dalam penjara, walaupun simpati rakyat mungkin meningkat kepada
pembangkang, tetapi mereka percaya ketiadaan pengganti karismatik
memimpin PR akan membolehkan Najib mengatur strategi baru melemahkan
gabungan itu dengan taktik adu-domba atau "membeli" sebahagian yang lain
untuk melompat parti.
Sebahagian besar ahli
UMNO juga mengharapkan Anwar akan dipenjarakan, bukan kerana Ketua
Pembangkang itu bersalah atau tidak meliwat Saiful Bukhari tetapi
disebabkan kehadirannya yang lepas bebas dilihat lebih menyusahkan UMNO
dan BN di fasa-fasa seterusnya.
Tetapi ada juga
pemimpin UMNO yang terang-terang mengatakan memenjarakan Anwar adalah
kehendak dan permintaan Rosmah Mansor demi survival kuasa manakala Najib
dikatakan agak terbuka serta tidak mempunyai keberanian yang tinggi
untuk mengharungi kesan pemenjaraan Ketua Pembangkang itu nanti.
Oleh itu, golongan ini percaya keputusan pada 29 Oktober nanti lebih bergantung kepada sejauh mana Najib mampu "menyenggol" balik isterinya itu.
Golongan
ini juga berhujah bahawa jika Anwar dipenjara, dua kesan langsung yang
bakal terbentang di depan matanya ialah menghadapi persepsi
antarabangsa bila mana seorang Ketua Pembangkang yang seharusnya
menyuburkan amalan demokrasi sesebuah negara tiba-tiba dihumban ke
penjara dan kedua, menghadapi pilihanraya kecil Permatang Pauh selepas
itu.
Dunia antarabangsa akan melihat Najib
sebagai pemimpin yang "jahat" dan "tidak berperikemanusiaan" sehingga
tergamak memenjarakan musuh politiknya. Berbanding kecaman, Najib kata
mereka, lebih suka disanjung serta dipuji oleh Barat dan Amerika.
Tidak
dinafikan membebaskan Anwar akan membersihkan namanya serta menjadikan
persaingan dalam pilihanraya akan datang lebih terbuka tetapi dengan
adanya sanjungan serta pujian antarabangsa dan Amerika, Najib juga
dikatakan lebih selesa dan kembang jiwa raganya. Berbeza dengan Mahathir
yang sedia berbalah dan dibenci Barat atau Amerika, Najib jauh dari
sifat itu.
Dengan adanya pilihanraya kecil
Permatang Pauh sebaik Anwar dipenjara, jika BN tidak berupaya
memperbaiki prestasinya pula ia adalah bukti jelas bahawa tiada sebarang
kelebihan kepada UMNO dan BN melalui hukuman penjara yang dijatuhkan
itu.
Bagi golongan profesional dan ahli perniagaan pula, nasib Anwar di Mahkamah Persekutuan pada 29 Oktober nanti
bergantung kepada siapa paling kuat melobi. Jika Amerika dan Barat
lebih kuat melobi Najib, maka tidak bersalah dan bebaslah Anwar tetapi
jika Mahathir yang lebih kuat melakukan lobian, ke penjaralah nasib
bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Beberapa
pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang dan Azmin Ali juga menuntut
campurtangan Najib dalam memastikan perbicaraan itu nanti benar-benar
adil serta bebas daripada pengaruh politik. Tuntutan dan desakan mereka
memperlihatkan adanya elemen politik dalam keputusan nanti.
Menjelang
detik-detik akhir yang bakal menentukan hidup mati karier politik
Anwar, itulah andaian , kesimpulan dan persepsi yang bermain dalam
kepala ramai orang.
Meskipun pengaruh politik,
kemahuan Putrajaya dan Seri Perdana tidak semestinya betul dan
benar-benar memainkan peranannya dalam kes Anwar ini, tanggapan pelbagai
pihak mengenainya semakin jelas kedengaran ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan