Berdepan sokongan yang makin merosot diterimanya akibat pemotongan subsidi bahan bakar petrol dan diesel, Perdana Menteri Najib Razak kini mulai menerima tekanan yang makin ketara daripada dalam UMNO sendiri.
Berdasarkan
kajian terbaru Merdeka Center, berbanding ketika peristiwa MH17 di mana
sokongan rakyat kepada Najib melonjak pada paras 54 peratus, kajian
terbaru selepas kenaikan harga minyak menunjukkan ia kini menurun kepada
48 peratus.
Bersama
sokongan yang kian merapuh itu, jika sebelum ini hanya Mahathir yang
banyak menyerangnya terutama berkaitan hutang 1MDB yang kemudian
disambut oleh pembangkang dalam Parlimen, kini orang nombor duanya dalam
kerajaan iaitu Muhyiddin Yassin dan kumpulannya seperti mulai mencari
salah dan kelemahan Perdana Menteri itu.
Muhyidddin
yang didokong kumpulan konservatif dalam UMNO terlihat gemar menjadikan
isu Akta Hasutan untuk menonjolkan kelebihannya di sebalik kelemahan
Najib yang makin banyak diperkatakan ramai.
Dalam
beberapa penampilan, Muhyiddin secara tegas menyatakan mahu akta itu
terus dikekalkan berikutan semakin banyaknya isu pertikaian mengenai
perkauman, agama dan Raja menjadi mainan di tengah-tengah masyarakat
sekarang ini.
Berbeza
dengan Najib yang pernah berjanji untuk menghapuskan akta itu,
Muhyiddin juga kini mulai mendapat pujian dan sanjungan yang makin
meluas, bukan saja daripada UMNO tetapi juga daripada beberapa NGO pro
Melayu, khususnya Perkasa.
Sokongan
lebih kuat Muhyiddin terhadap pengekalan akta itu tentunya bakal
menyusahkan Najib kerana menjadikannya berada di persimpangan antara
kehilangan sokongan UMNO atau dianggap mungkir janji oleh rakyat.
Sementara
Muhyiddin menjadikan isu pengekalan Akta Hasutan sebagai usaha
mengukuhkan kedudukannya dan sekaligus menolak kemungkinan berundur
sebagai Timbalan Perdana Menteri sepertimana yang dibualkan ramai
sebelum ini, penyokongnya juga sudah mulai berani mempertikaikan dasar
dan pendekatan Najib memimpin negara ini.
Di
Parlimen Rabu lalu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Aziz Sheikh Fadzir
secara terbuka mempertikaikan peranan Pemandu yang disifatkannya
bertindan dengan tugas beberapa kementerian dan mahukan unit itu
dimansuhkan terus sedangkan Pemandu adalah unit kebanggaan Najib sejak
ia ditubuhkan.
Selama
ini, orangramai dan pembangkang sudah banyak mempertikaikan peranan dan
kewujudan Pemandu yang diketuai Idris Jala ini, bukan saja dari segi
tugas dan fungsinya, malah juga kos perbelanjaan yang tinggi untuk
menyaranya.
Soalnya,
kenapa hanya setelah enam tahun baru pemimpin UMNO sendiri berani
tampil menyanggah kewujudan Pemandu dan siapakah Aziz Sheikh Fadzir ini?
Aziz
adalah adik kepada Kadir Sheikh Fadzir, bekas Menteri Penerangan yang
telah keluar UMNO kerana tidak bersetuju dan banyak mengkritik
kepimpinan Najib serta pernah menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO sessi
2000-2004.
Aziz
diketahui sebagai penyokong dan pendokong kuat Muhyiddin Yassin serta
memainkan peranan penting memastikan kemenangan Timbalan Perdana Menteri
itu dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 2009.
Sebaik
Muhyiddin memenangi jawatan itu dan menjadi orang nombor dua dalam
kerajaan, Aziz telah meletakkan bekas pegawai khasnya semasa menjadi
Naib Ketua Pemuda UMNO iaitu Nardin Awang bertugas sebagai pegawai khas
di Pejabat Timbalan Perdana Menteri.
Nardin
kini sudah dinaikkan pangkat dan menjadi salah seorang setiausaha
politik kepada Muhyiddin. Hakikatnya Aziz kini bukan saja menjadi
penyokong kuat Muhyiddin tetapi juga berpengaruh dalam perjalanan
politik Timbalan Perdana Menteri itu.
Apabila
Aziz menegur dan menyanggah mengenai Pemandu, suatu pendekatan yang
diambil Najib dan tidak pernah disentuh oleh mana-mana pemimpin UMNO
sebelum ini dan berlaku pula di ketika sokongan terhadap Najib yang kian
merosot, apakah ini menandakan perbezaan yang tidak dapat dielakkan
lagi antara kedua-dua pemimpin utama negara itu?
Bersama
Muhyiddin yang semakin kerap mempertahankan Akta Hasutan serta Mahathir
yang bukan saja sudah menarik balik sokongan tetapi juga mengkritik
satu demi satu dasar kerajaan, sanggahan Aziz sebagai orang kuat
Muhyiddin terhadap Pemandu seperti menunjukkan bakal lebih banyak lagi
dasar-dasar Najib akan terus dipertikaikan lagi selepas ini
Menambahkan
lagi kehangatan ialah apabila Tengku Razaleigh pula hari ini menghantar
kenyataan kepada Ahli-Ahli Parlimen mencadangkan agar perlaksanaan
cukai GST yang sepatutnya dilaksanakan pada April 2015 ditangguhkan bagi
mengelakkan beban berterusan kepada rakyat. Sebelum ini juga bekas
Menteri Kewangan itu sudah beberapa kali tampil membetulkan apa yang
dianggapnya salah sedang dilakukan oleh kerajaan sekarang.
Mengharungi
kemungkinan Anwar lebih mungkin akan dibebaskan dalam kes rayuannya di
Mahkamah Persekutuan yang dijangka diketahui awal minggu depab, Najib
dalam masa yang sama mulai menerima tekanan dan serangan daripada
semakin banyak penjuru dalam parti dan kerajaan.
Mahathir,
Muhyddin dan Ku Li yang semakin kritikal kebelakangan ini seperti hanya
menunggu masa untuk bersatu bagi menjatuhkan Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan