Keseluruhan keadaannya, jika diteliti berdasarkan dengan apa yang berlaku sekarang ini, tidak salah jika saya
katakan, perjalanan untuk Pakatan Rakyat untuk mencapai impian ke Putrajaya
masih jauh dan masih di awang-awangan. Pakatan Rakyat belum lagi terbentuk
diatas asas yang ‘promising’ untuk menjadi kerajaan yang mentadbir Putrajaya
memandangkan pimpinan Pakatan Rakyat, khususnya PKR, tidak menampakan ciri-ciri sebagai
pemerintah kerajaan negara.
PKR terutamanya masih bergelut
dengan masalah dalaman yang serius dan ia tidak mungkin dapat membawa obor
perubahan kepada politik negara kita lagi. Masakan parti yang bermasalah dalam
kepimpinannya boleh menjadi pilihan rakyat kerana rakyat sedang tercari-cari
siapa yang hendak menyelesaikan permasalahan yang dilakukan oleh Barisan
Nasional (BN) khususnya UMNO itu. Kita tidak boleh menggantikan UMNO yang uzur itu
dengan sebuah parti yang juga uzur.
Kita tidak boleh menggantikan
pemain bolasepak yang cedera dengan pemain yang patah kaki dan yang capek. Kita
tidak boleh berimamkan seorang yang tidak dapat sujud kerana sakit dengan
seorang imam yang mengidap penyakit ceret beret. Kita tidak boleh menyuruh
pembuat kasut untuk membuat songkok dan sebaliknya kita tidak boleh meminta
pembuat songkok membuat kasut.
UMNO dan BN jika diteliti
dari sudut kepimpinan, mereka yang sudah hilang arah itu. Mereka
sepatutnya diganti, bukannya sekarang, malahan mereka sudah patut
diganti lebih satu
dekad yang lalu. Tetapi rakyat masih tercari-cari pengganti kepada UMNO
dan BN
itu.
Sejak dua pilihanraya yang lalu
rakyat cenderung untuk menukar kerajaan dengan Pakatan Rakyat, tetapi usaha itu
gagal bukan kerana masalah orang ramai dan rakyat tetapi Pakatan Rakyat itu
sendiri tidak bersatu dan berbelah-belah. Jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil
alih Putrajaya tempoh hari, maka masalah yang mendatang akan lebih besar lagi.
Masalahnya Pakatan Rakyat itu
tidak didaftarkan dan tidak ada satu parti di antara tiga parti itu menjadi
pemimpin Pakatan Rakyat itu. Mereka bekerjasama di atas dasar sama besar dan
sama dalam segala-galanya, walaupun ia tidak menjadi kenyataan. Untungnya pihak
BN, UMNO menjadi tunjangnya, maka UMNO mempunyai suara dan pengaruh yang
terbesar dalam BN itu.
Pakatan Rakyat di sebaliknya
tidak dapat berjalan dengan mudah kerana semua parti di dalamnya mempunyai
pengaruh yang sama untuk menghadapi UMNO dan BN itu. Ketiga-tiga parti ini
hanya bekerjasama untuk mendapatkan undi semasa pilihanraya sahaja, bukannya
untuk menonjolkan perjuangan sebagaimana yang mereka laungkan.
Mereka terpaksa mengambil hati
rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat maka tentulah ada pihak di antara ketiga parti
itu yang sentiasa terkorban dan dipermainkan oleh rakan-rakannya tentang
perjuangan parti itu.
PAS merupakan parti yang sentiasa
terkorban dalam Pakatan Rakyat. Tidak ada apa-apa tambahan kekuatan kepada PAS
dalam Pakatan Rakyat dan salah satu contohnya ialah PAS telah kehilangan satu
kerusi Parlimen dalam pilihanraya yang lalu sedangkan DAP telah menambah
sembilan buah kerusi setelah satu kerusinya kembali ke pangkuan BN dalam
pilihanraya kecil Teluk Intan beberapa bulan yang lalu.
Sesungguhnya kita tidak boleh
menyalahkan parti seperti DAP untuk menentang perjuangan PAS untuk mendasarkan
perjuangannya kepada Islam kerana DAP bukannya parti orang Islam.
Memperjuangkan ciri-ciri Islam bukannya perjuangan mereka. Mereka hanya mahu
mendapatkan undi dan sokongan orang Melayu dan Islam dan itu adalah
kebijaksanaan mereka sendiri.
Kita tidak boleh marah kepada
parti yang bukan dari pimpinan Islam itu jika mereka tidak mahu bersama dalam
memperjuangkan nilai-nilai Islam itu. Mereka dan penyokongnya akan membuat
berbagai-bagai tuduhan seperti PAS sendiri tidak faham Islam dan sebagainya dan
bukan sedikit dari pimpinan Melayu yang sekarang menumpukan tenaga untuk
memberikan persepsi parti serta pemimpin Melayu dan Islam itu bodoh (stupid).
Akhirnya sebanyak mana pun
pengorbanan PAS itu, PAS tetap menjadi mangsa dan korban kehendak dan nafsu
pimpinan DAP dan PKR. Apabila PAS memberikan pandangan yang berbeza sedikit
dengan mereka maka keluarlah kenyataan-kenyataan seperti, Hadi tidak
berpendirian, PAS khianati perjuangan Pakatan Rakyat dan PAS flip-flop dan
sebagainya.
Hanya PAS tidak pandai untuk
membalas kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat dari parti rakan-rakan mereka dengan
bijaksana. Bagi PKR dan DAP hanya mereka sahaja yang berhak untuk membuat
keputusan. Hak PAS hanya lah untuk menerima sahaja apa yang mereka mahukan
kerana mereka berpendapat PAS boleh mengorbankan apa-apa perjuangan sekali pun
untuk mendapat kemenangan beberapa kerusi dalam pilihanraya umum dan kecil.
'Langkah Kajang' dahulu contohnya,
PAS tidak dirujuk dahulu untuk melakukannya. Semasa itu PAS terpaksa memberikan
sokongan memikirkan semangat kerjasama dalam Pakatan Rakyat itu. PAS dikehendaki
menyokong sahaja apa yang mereka mahukan tetapi jangan sekali PAS cuba untuk
memberikan pandangan yang berlainan dengan mereka. PAS akan dianggap khianat
terhadap perjuangan Pakatan Rakyat (jika ada pun perjuangan).
Perjuangan PAS dalam Pakatan Rakyat tidak
akan kemana kerana rakan-rakan kongsi mereka akan melakukan ‘insubordinations’
terhadap setiap kemahuan PAS. Bagaimana PAS mahu memperjuangkan hudud dengan
bekerjasama dengan penentang hudud yang tegar?
PAS hanya diperguna untuk menjadi 'penjunjung' mereka sahaja. Untuk kepentingan rakan-rakan ‘superficial’ mereka
dalam Pakatan Rakyat, parti itu terpaksa mengalah dan akur terhadap nafsu mereka
sahaja.
Ibarat kata, PAS itu 'hanyalah
parti lilin, menerangi semua orang tetapi ia akan cair begitu sahaja akhirnya.
PAS itu jambatan untuk pihak yang berkepentingan untuk menyeberang sahaja, atau
hanya dianggap sebagai dahan bongkok untuk laluan kera-kera, monyet-monyet dan
tupai-tupai sahaja'.
'Ibarat kenduri besar, PAS akan
disuruh masak dan menghidang sahaja sebagai orang penanggah. Makan dan hidangan
itu adalah PKR dan DAP. Selepas makan besar, PKR dan DAP akan pulang, dan PAS
masih tinggal untuk tugasan membersih dan mencuci pinggan makan DAP dan PKR
tadi'.
Bagi PKR dan DAP, PAS itu hanyalah sebagai garam. Dalam masakan garam itu penting, dan mesti ada dalam masakan itu. Tetapi garam itu tidak boleh lebih-lebih, nanti lauk dan gulai itu tidak boleh dimakan pula, terlalu masin. Garam itu hanya setakat sesedap rasa sahaja.
Raja-Raja Melayu pun dianggap mereka sebagai garam dan perisa masakan semata-mata.
Bagi PKR dan DAP, PAS itu hanyalah sebagai garam. Dalam masakan garam itu penting, dan mesti ada dalam masakan itu. Tetapi garam itu tidak boleh lebih-lebih, nanti lauk dan gulai itu tidak boleh dimakan pula, terlalu masin. Garam itu hanya setakat sesedap rasa sahaja.
Raja-Raja Melayu pun dianggap mereka sebagai garam dan perisa masakan semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan