PETALING JAYA: PAS konsisten mendesak Akta Hasutan dihapuskan tanpa ada tindakan dan pendakwaan terpilih.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, kerajaan hanya
mengambil tindakan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis yang
mengkritik kerajaan.
Sebaliknya mereka berdiam diri apabila pemimpin Umno Barisan Nasional (BN) bertindak mencetuskan kebencian kaum dan agama.
Beliau berkata, isu perkauman, perbalahan agama yang cuba
dicetuskan seperti tindakan meletakkan kepala babi di dalam masjid,
kejadian membakar gereja serta ucapan dan pandangan yang bersifat
perkauman tidak diambil tindakan di bawah Akta Hasutan.
"Mahu atau tidak orang seperti Ibrahim Ali ditahan di bawah Akta Hasutan? Saya tak setuju.
"Jikalau kita menentang Akta Hasutan dikenakan kepada kita, kita
juga tak bersetuju (Akta Hasutan) dikenakan kepada semua," kata beliau
ketika berucap di Majlis Makan Malam Bantah Akta Hasutan di Dewan Sivik
Petaling Jaya, malam tadi.
Beliau turut menjelaskan, majlis makan malam tersebut merupakan
usaha awal untuk memberikan kesedaran kepada rakyat agar menentang Akta
Hasutan dan juga akta-akta lain yang digunakan untuk menakutkan rakyat.
"Oleh itu jamuan ini akan menggerakakan rakyat supaya Akta Hasutan dihapuskan terus di Malaysia.
"Jamuan ini satu permulaan penyatuan rakyat semua kaum dan
pertubuhan untuk kita menentang Akta Hasutan dan akta-akta yang
diwujudkan pada zaman British yang kini masih digunakan untuk menakutkan
rakyat," katanya.
Majlis makan malam tersebut dianjurkan oleh Badan Penggerak Demokrasi dan Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH).
Ia bertujuan mengumpul dana bagi membantu mereka yang didakwa mengikut Akta Hasutan.
Antara mangsa Akta Hasutan yang hadir ialah pemimpin Pakatan Rakyat
iaitu Khalid Samad, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Tian
Chua, ahli akademik iaitu Aziz Bari, bekas pemimpin Umno, Datuk Tamrin
Ghafar, aktivis Hishamuddin Rais, Adam Adli dan Ustaz Wan Ji.
Sebanyak RM30,000 berjaya dikumpulkan malam tadi dan diserahkan kepada wakil peguam, Lateefa Koya bagi kos guaman. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan