Selasa, 28 Oktober 2014

Fobia BN terhadap Anwar boleh cetuskan penentangan pelajar seperti di HK



Oleh Hazlan Zakaria 


Dalam melarang ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada bercakap dalam sebuah acara yang dianjurkan pelajar Universiti Malaya dan menghukum penganjurnya, pentadbiran yang diterajui BN mungkin akan memarakkan lagi sentimen anti-kerajaan dan gagal menyekat sokongan popular terhadapnya.

Anwar telah dilarang daripada menghadiri dan berucap pada majlis yang dijadualkan pada jam 9 malam ini dan penganjurnya telah diberikan surat tunjuk sebab oleh pihak berkuasa universiti.

Dan seperti apa yang dilakukan pihak berkuasa apabila profesor undang-undang, Azmi Sharom menghadiri acara di UKM beberapa minggu yang lalu yang telah turut diharamkan, laporan berita menyatakan bahawa UM juga akan ditutup melalui sekatan jalan raya oleh pihak polis dan pihak keselamatan kampus.

Laporan juga menyatakan bahawa kakitangan diarahkan untuk pulang awal dan kelas dibatalkan, didakwa disebabkan oleh pencawang elektrik yang rosak di universiti tersebut.

Penganjur bagaimanapun telah berikrar untuk meneruskan acara tersebut, mencabar pihak berkuasa untuk mengambil tindakan, dan menyifatkan apa sahaja yang bakal berlaku sebagai pengorbanan yang diperlukan bagi perubahan dan reformasi yang mereka percaya merupakan paradigma gerakan pelajar.

Tetapi apa-apa sekatan bukanlah sesuatu yang baru kerana kerajaan telah melakukannya selama bertahun-tahun melalui kawalannya ke atas universiti-universiti tempatan melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. 

AUKU merupakan sebuah akta yang menurut pendapat pengkritik, telah melemahkan kebebasan akademik dan kebebasan mahasiswa.

Sebelum ini, ahli-ahli politik pembangkang yang lain, seorang ahli politik Umno yang liberal dan beberapa pensyarah yang tidak memiliki pandangan yang sama dengan kerajaan, telah diharamkan dari beberapa institusi pengajian tinggi.

Ini di sebalik ahli-ahli politik BN yang sering mendapat akses bukan hanya bagi majlis rasmi kerajaan, tetapi juga demi keuntungan politik.

Walau bagaimanapun, sasaran yang khusus terhadap Anwar bukan sahaja mempamerkan ketakutan yang tidak rasional kerajaan pimpinan BN terhadap kebebasan bersuara dan perbezaan pandangan yang sah, tetapi juga terhadap Anwar. 

Sehinggakan pemimpin pembangkang itu telah diserang dari setiap arah dan dalam segala bentuk yang mungkin, untuk memendamkan pengaruh beliau di kalangan rakyat.

Tetapi ketakutan mereka mungkin boleh difahami kerana dalam sejarah Anwar, UM boleh dianggap sebagai sebuah tanah suci, tempat kelahiran seorang tokoh popular yang, jika cerita-cerita orang tua saya adalah benar, mengosongkan kelas-kelas sewaktu dia berucap.

Di sinilah sisi politik Anwar mula terbit, dari mimbar sudut pidato menara gading itu.

Di sinilah sisi aktivis dalam dirinya ditempa, bukan sahaja di dalam relau gerakan pelajar UM yang terpendam, tetapi juga dalam maraknya api tindakan berat oleh kerajaan yang ketika itu dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamed.

Bagi Anwar untuk berucap di universiti lamanya mungkin bukan sahaja suatu simbolik, tetapi akan menjadi sebuah isyarat yang kuat, yang boleh membantu mencetuskan semula tarikan golongan belia terhadapnya.

Tetapi apa yang tidak rasional adalah, dengan mengambil tindakan keras ke atas Anwar dan mahasiswa UM yang mengundangnya, Putrajaya telah sekali lagi menyalakan api dalam relau aktivisme salah sebuah acuan gerakan pelajar ini. 

Jika pihak berkuasa membenarkan acara itu dijalankan, ia pasti tidak mendapat maklum balas negatif seperti yang sedang berlaku sekarang, dan Anwar mungkin tidak mendapat banyak pengaruh dari sebuah acara yang hanya merupakan detik kecil dalam radar politik semasa.

Dan acara ini mungkin hanya menjadi sebuah lagi acara publisiti sebelum Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya terhadap pembatalan pembebasan kes liwat II beliau esok, dan tidak merebak kepada gerakan aktivisme pelajar yang kelihatan seolah-olah sedang berlaku.

Semua ini disebabkan kesilapan kerajaan dalam serangan paniknya yang telah memakan diri pada ketika yang paling teruk, dan di tempat yang paling buruk. 

Ada yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang dipenuhi pihak atas pagar, dan memerlukan kejadian epik untuk memaksa kita mengambil pendirian.

Gangguan yang berterusan dan tindakan keras terhadap gerakan aktivis pelajar mungkin mendorong ramai dari mereka yang berada di atas pagar untuk bersikap anti-pihak yang berkuasa, tidak lama lagi.

UM merupakan ‘ground zero’ gerakan pelajar suatu masa dahulu, dan mungkin ini akan berlaku sekali lagi jika tindakan keras yang berterusan, dan gangguan terhadap pelajar-pelajar dan ahli akademik dipertingkatkan.

Ini bukan sahaja dapat melahirkan kebangkitan sentimen pro-Anwar di kalangan pelajar, tetapi juga mewujudkan lebih banyak ‘pejuang', seperti presiden majlis pelajar Fahmi Zainol yang menghadapi tindakan universiti kerana menganjurkan acara yang mengundang Anwar ke UM itu. 

Fahmi akan menuruti jejak langkah aktivis-aktivis mahasiswa teraniaya seperti Adam Adli, Safwan Anang dan Kumpulan Berempat UKM, dan juga ahli-ahli akademik yang disekat seperti Azmi dan pakar undang-undang, Abdul Aziz Bari.

Jika kita mengkaji revolusi payung di Hong Kong, sebuah protes berterusan yang terus melumpuhkan beberapa bahagian wilayah pentadbiran khas itu, kita boleh melihat bahawa ia adalah pergerakan ahli-ahli akademik dan para pelajar yang bosan dengan penindasan kerajaan.

Dan melalui Anwar ataupun tidak, fobia BN kepadanya mungkin akan menyemai benih-benih gerakan seperti itu di tengah-tengah perbezaan pendapat pelajar-pelajar dan ahli-ahli akademik, yang kedua-duanya telah lama menderita di bawah penindasan kerajaan.

Ada pepatah Melayu, marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Kerajaan BN seolah-olah sedang melakukan kesilapan yang sama

Tiada ulasan: