Jumaat, 31 Oktober 2014

Polis tembak mati dua lelaki disyaki pemberontak Sulu

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang ditembak mati oleh polis di Penampang Baru, Sabah semalam dipercayai anggota pemberontak tentera Sulu.
 
Sebelum ini, kedua-dua individu itu disyaki perompak bersenjata yang terlibat dengan insiden berbalas tembakan dengan polis kira-kira pukul 4 petang.
 
Seorang wanita turut ditahan dalam insiden itu.
 
Keadaan di Penampang Baru kembali normal pada pukul 9.15 malam tadi dan laluan yang dikepung dibuka untuk orang ramai.
 
Terdahulu, polis mengekori kedua-dua suspek sebelum menahan mereka di hadapan beberapa bangunan kedai untuk pemeriksaan.
 
Beberapa saksi memberitahu terdengar bunyi tembakan selama seminit menyebabkan orang ramai bertempiaran lari meninggalkan lokasi itu.
 
Pada Februari 2013, negara dikejutkan dengan pencerobohan pemberontak bersenjata tentera Sulu dari Selatan Filipina di Lahad Datu dan Semporna di perairan Pantai Timur Sabah yang menyaksikan 10 anggota pasukan keselamatan negara terkorban.
 
Bagaimanapun, negara berjaya mematahkan tindakan pemberontak itu melalui operasi bersama pasukan tentera dan polis yang dinamakan Operasi Daulat dengan membunuh lebih 100 pemberontak itu dan menangkap ratusan lagi pengikutnya di negeri tersebut.
 
Susulan insiden itu kerajaan menubuhkan perisai keselamatan bagi mengawal insiden pencerobohan, penculikan dan penyeludupan di Sabah, yang dinamakan Esszone (Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah) dan Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah). - Bernama

Tiada ulasan: