Khamis, 30 Oktober 2014

153 peniaga Uptown Shah Alam terima bantuan lebih RM1 juta

Oleh: Naeem Raffi


SHAH ALAM: Seramai 153 peniaga Uptown Shah Alam terjejas perniagaannya ekoran kejadian kebakaran dua minggu lalu menerima bantuan khas dari Kerajaan Negeri hari ini.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata bantuan bernilai lebih RM1 juta itu membabitkan bantuan kewangan bencana dan pinjaman kewangan Skim Mikrokredit Bandar (MiMBAR).

Uptown“Hari ini kita berjaya selesaikan dua perkara penting iaitu penyampaian sumbangan bantuan dari Perbandanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sejumlah RM76,500 kepada 153 peniaga Uptown terlibat yang mana setiap penerima mendapat sumbangan RM500.

“Kita selesaikan pinjaman MiMBAR berjumlah RM930,000 kepada 89 peniaga dengan seorang menerima bantuan RM5,000 sebagai modal perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media seusai Majlis Penyerahan Bantuan Khas kepada Mangsa Kebakaran Uptown Seksyen 24 di Dewan Bankuet Majlis bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail dan Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah.

Dalam satu kejadian kebakaran di Uptown Seksyen 24, Shah Alam mengakibatkan 187 lot kedai musnah dijilat api.

Kejadian mengejutkan itu menyaksikan 153 peniaga berputih mata kerana tidak sempat menyelamatkan barang perniagaan mereka.

MBSA kini sedang giat menyiapkan kertas kerja bagi pelan sementara dan projek membaik pulih Kompleks Uptown tersebut.

“Proses ini (baik pulih) akan mengambil sedikit masa sekitar satu ke dua tahun untuk siap. Setakat ini ia kekal di tapak sama tetapi kita perlu menilai banyak pandangan.

“Kita perlu melihat keseluruhan proses pembangunan Shah Alam bergantung kepada kesesuaian masa hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata sementara menanti kompleks uptown lebih selesa siap dibina, peniaga dialihkan ke tapak sementara di atas tanah seluas 6.5 ekar di sebelah kawasan kejadian.

Bagaimanapun, pihaknya sedang meneliti kewajaran sama ada mengalihkan kesemua 447 perniaga (Blok A & B) atau mengalihkan peniaga yang terlibat sahaja.

“Dianggarkan lebih RM5 juta akan dibelanjakan untuk pembinaan tapak sementara sekiranya kita mengalihkan semua peniaga ini,” katanya.

Uptown peniagaTerdahulu, beberapa peniaga Uptown Shah Alam yang hadir pada majlis itu bertindak mengerumuni Amirudin meminta supaya mereka tidak dialihkan ke tapak sementara.

Mereka antara kelompok peniaga di bahagian tidak terjejas kebakaran dan berhasrat terus berniaga dilot mereka tanpa dialih bersama dengan peniaga terlibat ditapak sementara.

“Kita sedang teliti dari segi kos, kesesuaian dan keselamatan dengan mengambil pandangan semua pihak.

“Kerajaan Negeri sedang memikirkan formula penyelesaian yang lebih menyeluruh agar kejadian sama tidak berulang,” jelasnya.EZY

Tiada ulasan: