MALAYSIAKINI
Malaysia mungkin tidak dapat mencapai status negara maju menjelang 2020
jika hanya menekankan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi
tetapi ketinggalan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, kata Tun
Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata hanya memperoleh pendapatan tinggi
tidak akan menjadikan Malaysia sebagai negara maju, tidak seperti
kemampuan penyeldikan dan kemahiran boleh melakukannya.
"Pendapatan Malaysia hampir mencapai negara maju tetapi pengalaman dan
kemahiran rakyatnya sama seperti mereka yang berada di negara membangun.
"Pada ketika ini, saya khuatir dan tidak begitu menaruh harapan bahawa
menjelang 2020, Malaysia akan menjadi negara maju," katanya.
Dr Mahathir, yang juga pengerusi Proton, berkata demikian pada
ucaptamanya pada Seminar "Memperkasakan Industri Automotif Negara' di
Cyberjaya semalam.
Beliau berkata Brunei sebagai negara berpendapatan tinggi tetapi ia
bukan negara maju, sambil menambah pendapatan tinggi dan produktiviti
yang rendah hanya akan menjadikan kos sara hidup meningkat lebih tinggi.
"Pemikiran rakyat Malaysia terhadap penyelidikan dan pembangunan
(R&D) perlu diubah. Rakyat Malaysia masih kurang memahami
kepentingan R&D dan sentiasa mempersoalkan pulangan pelaburan dalam
bidang ini," katanya.
Dr Mahathir berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara membangun
yang memiliki industri automotif sendiri dan negara-negara membangun
sedang belajar daripada negara ini.
Industri automotif boleh menjadi pemangkin dalam menyediakan rakyat
Malaysia kemahiran, pengetahuan dan keupayaan dalam bidang kejuruteraan,
katanya.
Hari ini, katanya, Proton menguasai hanya 18 peratus daripada pasaran kereta di negara ini.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan