Oleh Shuhaniza Said
PETALING JAYA: Kerajaan negeri akan meneruskan rancangan pembinaan
lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex) namun dengan syarat ia perlu
mematuhi polisi yang ditetapkan kerajaan negeri.
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, lebuh raya berkenaan perlu
mematuhi tiga perkara penting yang digariskan bagi menjamin pembinaannya
memberi manfaat kepada rakyat negeri ini dan pengguna jalan raya amnya.
"Sudah tentu ia perlu memastikan kesemua kelulusan untuk
pelaksanaannya mesti dipenuhi. Pertamanya laporan trafik, ia perlu
meyakinkan kita bahawa lebuh raya itu akan mengurangkan kesesakan trafik
di Petaling Jaya.
"Keduanya kita mahu melihat kadar maklum balas berkenaan lebuh raya itu.
"Ketiganya kita mahu memastikan kesemua perjanjian konsesi juga mesti
didedahkan kepada awam,"katanya selepas menghadiri perjumpaan bersama
kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, pagi tadi.
Projek lebuh raya sepanjang 14 kilometer dengan anggaran kos RM2.2
bilion itu sebelum ini mendapat bantahan penduduk setempat yang mendakwa
ia akan memusnahkan alam sekitar, selain menyebabkan harga hartanah
merudum, dan disifatkan bukan penyelesaian yang bijak kepada masalah
lalu lintas.
Malah ia juga menjadi salah satu punca kepada pengguguran Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatan menteri besar, berikutan
kegagalanya memberi penyelesaian kepada isu berkenaan.
Mengulas lanjut, Azmin berkata, setakat ini beliau sudah mengadakan
perjumpaan dengan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad,
Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkaitan serta
wakil masyarakat sivil kawasan berkenaan untuk membincangkan projek
lebuh raya itu.
Sementara itu, mengulas berhubung draf Rancangan Tempatan Petaling
Jaya (RTPJ) yang turut mencetuskan kontroversi, Azmin berkata beliau
menyerahkan perkara berkenaan kepada Alinah dan Ahli Majlis untuk
mencapai kata sepakat, sebelum kerajaan negeri memutuskan langkah
susulan untuk draf berkenaan.
"Mesti ada konsultasi di antara Datuk Bandar, Ahli Majlis untuk
memastikan pindaan baru rancangan tempatan mesti mencapai konsensus
antara Datuk Bandar dan Ahli Majlis, dan baru kembali kepada kerajaan
negeri
"Saya tak kata mahu hentikannya tapi saya mahu konsultasi berterusan.
Datuk Bandar duduk berbincang dengan Ahli Majlis dan sudah mengadakan
perbincangan dan sudah tentu kami melihat 'provision' bersama peguam.
"Bila saja sudah capai konsensus, kita akan bersetuju dengan pindaan
itu. Tapi buat masa ini biarkan kami bekerja dan lihat pandangan Datuk
Bandar, Ahli Majlis.. Dan akan kembali kepada SPC (Jawatankuasa
Perancang Negeri) untuk kelulusan akhir. Tapi sebelum itu kena capai
konsensus,"katanya.
Alinah sebelum ini dikritik kerana dilihat mengambil keputusan secara
bersendirian dan enggan mengendahkan suara majoriti ahli majlis yang
menyokong agar draf berkenaan dimansuhkan.
Ahli majlis juga meminta agar pindaan RTPJ dihentikan sehingga maklum
balas daripada rakyat diberi perhatian sewajarnya kerana khuatir
rancangan berkenaan akan merosakkan pembangunan mampan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan