shahbudindotcom
Isunya
cumalah kerana Gopal Sri Ram yang menjadi peguam Anwar ini pernah
menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan keadaan itu dikatakan
boleh mempengaruhi lima hakim yang mendengar rayuan Ketua Pembangkang
itu daripada membuat keputusan yang bebas dan adil.
Tambahan pula, Majlis Peguam pada mesyuarat 15 Mac lalu
juga pernah mengemukakan usul agar hakim kanan atau hakim mahkamah
lebih tinggi yang bersara dilarang mewakili anak guam mereka di mahkamah
atas alasan yang sama.
Dengan
kedudukan Gopal Sri Ram mewakili Anwar dalam kes rayuan terakhirnya ini
dan barangkali melihat kepada isu-isu kredebiliti Saiful Bukhari yang
berjaya dibangkitkannya dengan kemas, teratur dan meyakinkan, mungkinlah
kerana itu pertikaian terhadap peranannya sebagai peguam mula
dipertikaikan.
Bukan
saja Gerakan melalui Ketua Pemudanya, Tan Keng Liang yang bersuara
meminta Majlis Peguam menyatakan pendirian terhadap perkara ini, bahkan
sekumpulan peguam pro UMNO turut juga bersuara.
Kumpulan
peguam yang diketuai oleh Zulkifli Noordin, bekas calon BN Shah Alam,
dalam satu kenyataan turut menuntut Majlis Peguam menyatakan
pendiriannya berhubung perkara ini untuk mengelakkan dianggap
mengamalkan sikap "double standard".
Adalah
dipercayai juga menjelang detik-detik berakhirnya kes rayuan Anwar ini,
lebih ramai lagi pihak berkepentingan seperti pemimpin politik dan NGO,
akan tampil bukan saja untuk menyatakan bantahan terhadap sikap Majlis
Peguam itu tetapi juga tentang kedudukan Gopal Sri Ram yang dianggap
boleh mempengaruhi para hakim yang mendengar kesnya
Bantahan
terhadap kedudukan Gopal Sri Ram ini sebenarnya agak pelik kerana
walaupun Majlis Peguam ada membuat usul berkenaan perkara itu tetapi
Mahkamah Persekutuan sebagai responnya kemudiannya memutuskan bahawa
hakim-hakim bersara boleh muncul sebagai peguam dalam kes-kes sivil di
mahkamah dengan hujah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak
seseorang untuk meraih pendapatan bagi dirinya.
Ketua
Hakim Negara, Ariffin Zakaria sendiri pada 2013 pula pernah berkata,
hakim yang bersara bebas bertindak sebagai peguam kerana mahkamah
bertindak berasaskan merit.
Berdasarkan
hakikat ini, secara logiknya tiada isu lagi bagi mana-mana bekas hakim
untuk menjadi peguam atau dipertikaikan pendirian Majlis Peguam.
Peguam
Shafee Abdullah yang menjadi ketua pendakwa dalam kes rayuan Anwar ini
bagaimanapun tidak bimbang dengan kehadiran Gopal Sri Ram kerana ia
merupakan hak masing-masing serta tiada sekatan daripada berbuat
demikian.
Isunya, kenapakah ada pihak lain yang takut dengan kehadiran Gopal Sri Ram sebagai peguam ini?
Adakah ini sebagai persiapan awal mencari helah dan alasan kiranya Anwar didapati bebas nanti?
Jika
dulu ketika Anwar mempertikaikan perlantikan Shafee Abdullah yang
diketahui rapat dengan UMNO serta didapati berada di rumah Najib ketika
Saiful membuat aduan diliwat serta berulangkali cuba menyingkirkannya
sebagai ketua pasukan pendakwa, kenapakah beliau ditempelak?
Ketika
itu Anwar diselar dan dipersenda kononnya takut kalah dalam kes
rayuannya dan menghuni penjara sekali lalu didakwa sengaja mencari helah
untuk menyalahkan perlantikan Shafee sebagai alasannya.
Ada
juga pemimpin UMNO yang berkata, Anwar tidak seharusnya takut dengan
Shafee kerana beliau hanyalah pendakwa tetapi yang menentukan bersalah
atau tidak adalah hakim.
Tapi
apa sudah jadi sekarang? Mereka yang dulunya seolah-olah terbuka dan
meminta Anwar jangan takut dengan Shafee yang menjadi pendakwa,
rupa-rupanya turut takut dengan Gopal Sri Ram yang hanya bertindak
sebagai peguam.
Bolehkah
dipulangkan "paku buah keras" bahawa yang menentukan bersalah atau
bebas adalah hakim dan bukannya peguam daripada kalangan bekas hakim?
Dengan mempertikaikan kehadiran Gopal Sri Ram, apakah mereka ini turut tidak percaya lagi dengan sistem kehakiman kita?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan