OLEH: USTAZ IDRIS AHMAD
SAYA mulakan dengan ayat Allah SWT (maksudnya), “Sesungguhnya Allah Taala memerintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada ahli kamu dan apabila kamu menghukum hendaklah kamu hukum dengan hukuman yang adil”. (Surah an-Nisak: 58)
Negara kita sudah pun mencapai kemerdekaan selama 57 tahun. Setiap kali kita lihat bajet ataupun belanjawan yang dibentangkan oleh pihak kerajaan melalui Menteri Kewangan sudah menampakkan tentang bagaimana susun atur dan perancangan yang dibuat.
Kalau kita lihat daripada segi pembentangan bajetnya memang cantik dan elok kerana yang membuat itu ialah pegawai-pegawai kerajaan yang memang mereka ini menepati dengan cita rasa rakyat. Akan tetapi gagalnya kita lihat ialah daripada segi sudut pelaksanaannya.
Oleh sebab itu kita tengok pembangunan perbezaan antara pembangunan antara wilayah masih ketinggalan sedangkan kita lihat hasil yang Allah Taala berikan di Malaysia ini banyak. Allah Taala berikan kepada Malaysia ini banyak. Negara lain hanyalah ada minyak macam Brunei tetapi dia tidak ada kelapa sawit. Negara Saudi dia ada minyak tetapi dia tidak ada bijih besi, bijih timah, emas, lada hitam, balak, semuanya ada di Malaysia. Inilah nikmat yang Allah Taala berikan kepada negara kita yang tercinta ini.
Akan tetapi malangnya kita lihat rungutan terutama daripada kalangan rakan-rakan Ahli Parlimen di sebelah Sabah dan Sarawak, yang kita lihat kedengaran seolah-olah mereka bercakap di blok pembangkang. Mereka mengkritik, memberikan teguran kenapa projek tidak sampai ke sana, bagaimana masyarakat di sana masih ketinggalan.
Kita boleh lihat kalau kita pergi ke sebelah Malaysia Timur sana sedangkan di sana bumi Allah Taala beri luas. Masih ramai rakyat yang tinggal di rumah air yang kita faham keadaan prasarananya yang tidak cukup. Maka, kenapa jadi sedemikian rupa?
Ini tidak lain dan tidak bukan kerana pengagihan yang tidak berapa betul dan tepat. Inilah Allah Taala memberikan amaran dalam al-Quran dalam Surah al-Hasyru ayat yang keenam, ketujuh (maksudnya), “Janganlah harta kekayaan ini berpusing daripada kalangan orang-orang kaya dalam kalangan kamu sahaja” . Maka akhirnya kita lihat yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana.
Oleh sebab itu kita mencadangkan supaya pihak kerajaan kena perbetulkan terutama daripada segi sudut delivery system dengan izin iaitu dengan pengagihan yang tersasar kepada mereka yang perlu diberi bantuan. Kita mesti bertindak di sana soal buta ideologi, kita mesti buta warna daripada segi sudut ideologi politik dan juga daripada segi buta soal kaum dan sebagainya. Bukan semua orang Cina yang kaya dan bukan semua juga orang Melayu yang susah dan bukan semua orang India yang miskin. Ada India yang kaya dan ada Melayu yang kaya.
Tolong berikan bantuan kepada mereka kerana ini yang diajar. Ini kerana kita tahu soal berkenaan dengan pengagihan ekonomi ini kalau tidak diberikan dengan tepat, kita bimbang masalah-masalah sosial yang lain akan berlaku berterusan selepas ini.
Satu untuk engkau tiga untuk aku
Oleh sebab itu, walaupun hasil kita banyak tetapi kalau pengagihannya tidak betul, ia berpusing di kalangan kita sahaja. Seperti cerita P. Ramlee... “Satu untuk engkau tiga untuk aku, dua untuk engkau tujuh untuk aku”. Kalau ini yang berlaku, sampai ikan keli tumbuh sisik pun tidak boleh hendak berjaya hendak mengatasi masalah imbang antara orang kaya dan juga orang miskin.
Sebab itu satu perangkaan yang pernah dikeluarkan oleh Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dia telah menyenaraikan 30,114 rakyat Malaysia yang berada di miskin tegar. Sebanyak 53,025 lagi ialah sebagai di kalangan yang miskin.
Sudah tentulah miskin tegar ini kalau dalam kaedah feqah disebut tentang fakir, perlu RM10 dapat RM3. Miskin, perlu RM10 dapat RM7. Ertinya, masih ramai dari kalangan mereka yang berada di tahap miskin tegar termasuk Sabah, Sarawak dan juga di negeri Kelantan di sebelah Semenanjung di sini. Tuan Yang di-Pertua, apa makna negara kita kaya dengan hasil mahsul yang banyak tetapi kualiti hidup rakyat masih lagi rendah.
Walaupun Menteri ada menjelaskan tentang pendapatan rakyat Malaysia RM5,900 sebulan. Akan tetapi kalau kita lihat realiti di bawah, kita sudah lihat bagaimana ada sesetengah tempat pula seperti mana disebut oleh Yang Berhormat Kota Raja, ada pengawal-pengawal keselamatan yang mana mereka ini tidak diberikan dengan gaji minimum.
Maka kalau kita lihat juga di kawasan-kawasan pedalaman, kawasan nelayan termasuk di Sabah dan Sarawak serta termasuklah juga di kawasan saya sendiri terutama di kawasan Kuala Sepetang. Kalau kita boleh lihat dan tinjau di sana, masyarakat yang hanya menumpang teduh, membuat rumah di tanah rizab sungai, membuat rumah tanah rizab tepi laut, ertinya bila-bila masa mereka ini boleh dihalau keluar daripada situ.
Masalah sosial
Apabila kita melihat di kampung itu, sudah kita dapat lihat bagaimana masalah sosial akan muncul di tengah-tengah masyarakat dan terutama saya cukup kesian ataupun sayang kepada anak-anak mereka yang masih kecil. Mereka ini untuk hidup lama lagi. Apakah mereka ini hendak mewarisi kemiskinan yang dialami oleh ibu bapa mereka kerana suasana pembelajaran yang tidak kondusif. Mereka terpaksa mewarisi kemiskinan daripada ayah dan mak mereka. Rumah miskin, bukan setakat rumah kita lihat.
Ada di kalangan mereka kita lihat tidak mampu untuk meletakkan batu depan rumah, sebaliknya ambil kulit-kulit kerang yang mereka ambil upah hasil satu hari dapat RM7 atau RM8 daripada pukul lapan pagi hingga pukul enam petang. Itulah pekerjaan sambilan yang dilakukan oleh isteri yang berada di rumah. Kulit kerang itulah yang diletakkan di hadapan rumah mereka. Kalau tempat di rumah kita itu sebagai tar, tile ataupun marmar. Sudah 57 tahun merdeka, itu keadaan rumah yang kita lihat di tempat kita.
Saya mengharapkan supaya kerajaan untuk membasmi kemiskinan, jangan beri ikan, kalau boleh berilah kail. BR1M, beri tidak apalah tetapi kita tidak boleh bangga kalau penerima BR1M setahun ke setahun makin ramai orang terima. Ertinya, kita tidak boleh berbangga. Untuk sementara boleh.
Sepatutnya setiap setahun kita mesti ada improvement, dengan izin, supaya tahun depan makin kurang kerana taraf hidup masyarakat ini semakin baik dan berkualiti. Ini yang patut diberikan. Sepatutnya modal-modal seperti mana yang pernah dibuat dalam Amanah Ikhtiar, untuk modal yang diberikan kepada peniaga-peniaga kecil.
Mereka ini kebanyakan 90% bayar balik. Hal seperti mana yang dibentangkan oleh rakan-rakan kita daripada Serdang yang telah menjelaskan bagaimana korporat-korporat besar, mereka ini hutang dan mereka ini tidak membayar. Sedangkan mereka ini orang yang susah, insya-Allah orang miskin ini mereka bayar. Inilah yang patutnya perlu diperbanyakkan di dalam sistem untuk kita hendak berikan kepada masyarakat ini kail, bukannya ikan.
Syarat MUET
Isu yang kedua berkenaan syarat MUET iaitu Malaysian University English Test. Baru-baru ini Yang Amat Berhormat Pekan telah memberitahu berkenaan dengan kemasukan universiti tahun yang akan datang, terutama berkenaan dengan kemasukan di Fakulti Sastera, Sains Sosial perlu lulus Band 2. Untuk Fakulti Perubatan, Undang-undang perlu lulus Band 4.
Kerajaan perlu kaji balik cadangan ini kerana kita bimbang peningkatan syarat minimum peperiksaan Bahasa Inggeris ini, kita bimbang takut esok pelajar-pelajar kita, misal kata di peringkat Matrikulasi dia dapat four flat ataupun dapat 9.8, 9.9, tiba-tiba dia tidak boleh masuk universiti dengan sebab dia tidak lulus Bahasa Inggeris. Ini diakui sendiri oleh Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad.
Sekiranya pelaksanaan tersebut dibuat, pelajar luar bandar majoritinya masalah dalam penguasaan bahasa Inggeris akan tercicir. Ia memberi kesan kepada pelajar Sabah, Sarawak dan pedalaman di Semenanjung. Ini yang perlu difikirkan oleh pihak kerajaan terutama daripada Kementerian Pendidikan. Kita tidak hendak buat dulu.
SPM 2016
Tahun 2016 ini pula bagaimana pelajar-pelajar SPM, kalau tidak lulus Bahasa Inggeris, tidak layak untuk mendapat sijil. Saya bukan menentang soal bahasa. Bahasa ini perlu belajar. Kalau dalam Islam Nabi memperingatkan, Nabi kata (maksudnya) “Belajarlah bahasa orang lain, nescaya akan kamu aman daripada tipu daya.” Baik, bahasa Inggeris bahasa pengetahuan yang perlu kita belajar. Apa yang saya tidak hendak ialah kita wajibkan kepada pelajar-pelajar, sedangkan soal prasarana kita tidak buat. Ini ertinya kita zalim kepada pelajar-pelajar kita esok. Mereka lulus dengan baik, tetapi gagal masuk universiti dengan sebab Bahasa Inggeris.
Mungkin kita yang mampu boleh buat special tuition, dengan izin, panggil guru. Akan tetapi yang kawasan pedalaman, saya mendapat maklumat kalau di Kedah, tidak silap saya seluruh negeri Kedah yang dapat Band 4 ini dua orang sahaja. Itu mungkin boleh diperbetulkan oleh pihak kementerian.
Memanglah, yang mengajar bahasa Inggeris ini pun kadang-kadang, dia pun sebab perlu mengajar. Dialek dia pun kadang- kadang bunyi style tempatan.
Kalau yang Inggeris pula kita lihat yang duduk belah Kedah mengajar bahasa Inggeris, “The weather is clear.”… [Disebut menggunakan dialek Kedah] Bunyi Inggeris pun Inggeris Kedah, bagaimana kita tiba-tiba hendak wajibkan kepada pelajar-pelajar? Ini sekali lagi saya tegaskan supaya pihak kerajaan ambil perhatian bab ini kerana saya yakin bahawasanya pelajar-pelajar ini suruh masuk universiti dahulu.
Di universiti kita ada pusat bahasa. Saya dahulu pun orang yang agak buta bahasa Inggeris. Akan tetapi bila di universiti kita masuk tahun satu, dia buat placement test. Dia skrin, dia tengok ini orang yang basic kena masuk, ini intermediate dan yang ini, advance.
Alhamdulillah, semua kita boleh mengikuti dari ‘A’ to ‘Z’. Tiba-tiba kita wajibkan pelajar-pelajar ini, teruk dia. Saya kesian terutama di kalangan anak-anak murid kita yang berada di pedalaman. Guru yang tidak cukup. Bahasa ini kita kena ingat ia lain. Saya kalau suruh saya mengajar Bahasa Malaysia, saya tidak boleh mengajar kalau Bahasa Malaysia peringkat tinggi. Bahasa ini lain. Bahasa Arab pun sama walaupun dia mengaji Usuluddin atau Syariah di Universiti Al-Azhar, di Mesir, di Syria, di Baghdad dan sebagainya, suruh mengajar bahasa Arab belum tentu. Bahasa ini ia lain, ia ada kaedah-kaedah yang tersendiri. Macam mana kita tiba-tiba hendak memaksa?
Saya yang paling takut ialah oleh kerana hendak wajibkan pelajar-pelajar ini dapat Band 2 ataupun Band 4 nanti kita akan turunkan graf kelulusan. Kalau ini berlaku, kita tengok seperti mana ada sesetengah pelajar yang kadang-kadang mereka tidak pernah lulus Add Math ataupun Matematik Tambahan. Dia bila result keluar, dia pun terkejut, tidak pernah lulus, tiba-tiba lulus. Rupa-rupanya di sana grafnya diturunkan. Kita tidak mahu macam itu. Kita mahu biarlah pelajar-pelajar kita yang ada kualiti dan mereka ini mesti diberikan dengan baik untuk supaya siap siagakan ke arah untuk mendapatkan apa yang kita katakan sebagai kelayakan untuk masuk ke universiti.
Mafia Kuala Sepetang
Kemudian isu yang ketiga ialah isu setempat iaitu laporan berkenaan dengan kes mafia di Kuala Sepetang, dalam Parlimen saya. Saya cukup kesal dengan laporan Utusan Malaysia, 19 Oktober dan juga 20 Oktober mengenai kononnya Kuala Sepetang dikuasai mafia. Kalau mafia kuasai Kuala Sepetang ini, saya tidak berada di sini malam ini. Saya tidak ada malam ini di sini. Saya boleh katakan saban minggu saya berada di sana. Mungkin saya bukan setakat dikerat 18, mungkin kerat 28.
Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Macam bos mafia sahaja.
Idris Ahmad [Bukit Gantang]: Hah! Kalau begitu kata Yang Berhormat Parit Buntar macam seolah-olah bos mafia.
Kita amat sedih. Laporan yang tidak berintegriti. Apa motif? Saya tidak tahu. Sedangkan saya sebagai Ahli Parlimen, kerap masuk ke kampung tersebut. Bukan setakat kampung, lorong-lorong kecil kita masuk untuk membantu, kadang-kadang memberi bantuan termasuk di kalangan kaum orang-orang Cina.
Apa yang dia kata pula Pulau Sangga Besar sebagai pusat kasino. Kasino apa? Orang yang duduk di situ orang tua-tua. Orang tua-tua mata pun sudah tidak nampak. Mata pun tidak nampak, mahu main kasino macam mana? Mata pun tidak nampak, lebih kurang 30 minit dari Kuala Sepetang hendak pergi ke Pulau Sangga Besar, tiba-tiba dia kata pusat kasino. Ish! Pusat kasino, yang di atas bukit, Genting Highlands dia tidak nampak pula. Ini orang panggil kadang-kadang ‘benak’. Tahu ‘benak’? Apa yang besar tidak nampak tetapi yang kecik dia nampak.
Ini macam satu kisahlah. Satu kisah seorang itu dia mengaji. Tidak faham-faham. Guru dia terang, tidak faham-faham. Tiba-tiba guru dia kata “Jom, pergi dekat dengan tembok di sana”. Guru dia pun ambil buat titik hitam dekat tembok putih itu. “Engkau nampak?”. Dia jawab, “Nampak”. “Nampak apa?” Dia jawab, “Nampak titik hitam” “Patut awak tidak faham. Tembok besar engkau tidak nampak, titik hitam kecil engkau nampak” Lebih kurang Utusan Malaysia inilah.
Kita lihat dan apa motif kita tidak faham. Sedangkan kita tengok Pulau Sangga Besar yang dia katakan kasino itu dan juga Kuala Sepetang dan sekarang ini dikuasai oleh mafia. Penghuni tidak sampai 200 orang. Pulau tersebut juga ada polis. Polis duduk dengan aman, ada klinik dan ada nurse di situ yang hidup dengan baik. Boleh bersosial dengan mereka. Kalau kita boleh pergi ke sana, kita lihat. Tiba-tiba Utusan Malaysia melaporkan demikian rupa. Laporan ini sudah tentu menjejaskan industri pelancongan di Kuala Sepetang.
Di Kuala Sepetang, kita tahu kaya dengan khazanah, ekopelancongan boleh buat. Di situ ialah yang paling panjang tanaman bakau di Kuala Sepetang. Laporan macam ini dibuat sudah tentu akan menggerunkan orang dan akan merosakkan industri pelancongan di situ.
Oleh sebab itu saya mencadangkan supaya Utusan Malaysia kena hentikan laporan yang tidak berasaskan ini. Sebab itu 22 Oktober, polis negeri menafikan aktiviti jenayah yang berleluasa di kawasan Kuala Sepetang, Bukit Gantang seperti didedahkan oleh Utusan Malaysia dalam dua siri laporan khas.
Melalui Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk A. Paramasivam yang memangku jawatan Ketua Polis Negeri Perak sejak Khamis yang lalu.
Sepatutnya Utusan Malaysia mahu buat laporan, mestilah laporan yang betul dan tepat dan biarlah. Kita harapkan supaya minta maaf kepada penduduk di Kuala Sepetang. Memang penduduk Kuala Sepetang tidak kira Melayu atau Cina yang berada di situ marah terhadap laporan yang diberikan oleh Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia kalau boleh berhentikanlah cara tradisi yang menyebut ataupun memberitakan tentang berita-berita yang tidak baik dan terutamanya memberikan kesan kepada industri pelancongan di kawasan Kuala Sepetang.
Petikan ucapan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad semasa membahaskan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada 28 Oktober 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan