Selasa, 28 Oktober 2014

Laporan polis individu ugut bunuh KM S'wak

MALAYSIAKINI


 


Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) membuat laporan polis semalam berhubung ugutan bunuh terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, oleh seorang individu melalui laman facebook.
  
Anggota majlis tertinggi Saberkas, Abdul Aziz Draup yang membuat laporan itu di Balai Polis Sekama di Kuching berkata beliau mengambil tindakan itu kerana menyifatkan ugutan itu melampau dan melibatkan pemimpin tertinggi negeri itu.
  
"Sebagai rakyat Sarawak, saya kecewa dengan perkara ini dan mahukan pihak polis mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang terlibat membuat ugutan ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan.

Laporan beliau merujuk kepada kenyataan seorang individu yang hanya dikenali sebagai 'Chopz Suey' dalam facebook yang berbaur hasutan dan mengancam untuk membunuh Adenan berhubung kenyataan pemimpin itu tentang kedudukan Sarawak dalam Malaysia baru-baru ini.
  
Bagaimanapun, komen individu berkenaan telah dipadamkan selepas ia tersebar luas.

Bernama difahamkan polis turut menerima sembilan laporan lain masing-masing dibuat di Kuching, Miri dan Bintulu berhubung perkara yang sama.- Bernama

Tiada ulasan: