Selasa, 28 Oktober 2014

Penyokong bakar baju gambar Saiful

MALAYSIAKINI


 


Kekeceohan tercetus di luar Istana Kehakiman di Putrajaya ekoran tindakan beberapa orang penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membakar objek dan cuba merempuh sekatan polis.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 11.40 pagi itu, individu berkenaan dilihat membakar dua helai baju-T sambil yang memaparkan gambar pengadu kes Liwat II, Saiful Bukhari Azlan.

Individu berkenaan, yang masih belum dikenalpasti setakat ini, kemudiannya dilihat cuba merempuh penghadang besi di hadapan kompleks mahkamah itu.

Individu berkenaan bagaimanapun ditenteramkan oleh beberapa orang petugas Skuad AMK, dan seterusnya membawa kumpulan itu jauh daripada kira-kira 500 orang yang berhimpun di sekeliling sekatan berkenaan.

Seramai kira-kira 60 orang anggota polis berkawal di sekeliling sekatan berkenaan.

Sementara itu, setiausaha agung PKR Rafizi Ramli pula ketika ditemui pemberita mengakui bahawa jumlah kehadiran penyokong seramai 500 orang hari ini kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun, beliau percaya jumlah kehadiran itu akan meningkat pada hari esok, yang merupakan hari terakhir pendengaran rayuan Anwar dalam kes Liwat II.

"Saya rasa orang akan datang esok sebab hari ini hari bekerja dan perbicaraan ini dua hari. Kita dapat maklumat orang ramai akan turun esok.

"Esok kita jangkakan lebih ramai dari hari ini," katanya kepada pemberita di luar kompleks mahkamah.

Kempen untuk menghimpun penyokong untuk hadir ke mahkamah melalui program dinamakan 'Rakyat Hakim Negara' itu dilancarkan oleh ketua AM, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 14 Oktober lalu.

Dalam ucapannya kepada para penyokong yang berhimpun hari ini, Nik Nazmi menasihatkan kepada peserta agar bertenang dan memberi kerjasama untuk mengelakkan perkara tidak diingini.

Beliau turut meminta supaya orang ramai turut menghormati petugas keselamatan yang bertugas pada hari ini.

“Kita semua datang dengan semangat sendiri, masing-masing nak bagi sokongan. Kita tak mahu perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

“Jadi saya minta masing-masing dapat bertenang dan hormat. Hormat petugas dan pada masa yang sama hormat orang ramai yang datang dan jangan kita lakukan apa-apa yang tidak diingini," katanya.

Tiada ulasan: