MALAYSIAKINI
Seorang pensyarah mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan satu
badan berkanun bagi mempertahankan dan mendesak pihak berkuasa mencari
ganti bagi tanah rizab Melayu yang diambil sebelum ini.
Pensyarah Kanan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur Universiti
Teknologi Mara (Uitm) Perak Mohd Hasrol Haffiz Aliasak berkata cadangan
mewujudkan Lembaga Amanah Tanah Rizab Melayu bagi memastikan kepentingan
orang Melayu.
"Badan ini dapat jadi satu mekanisme yang diberi kuasa untuk mencari dan
mendesak kerajaan negeri dan persekutuan menggantikan tanah rizab
Melayu yang hilang," katanya.
Beliau demikian ketika ditemui media selepas Wacana dan Forum Isu Tanah
Rizab Melayu anjuran NGO pendesak Melayu, PERKASA di ibu negara hari
ini.
Mohd Hasrol sebelum ini mendedahkan kajian beliau pada 2009 mendapati
keluasan tanah berkenaan hanya kira-kira 12 peratus daripada 12.9 juta
hektar keseluruhan tanah semenanjung Malaysia tidak termasuk Pulau
Pinang dan Melaka.
Bagaimanapun mereka bakal berdepan dengan langkah sukar kerana kuasa
tanah kini berada di bawah kerajaan negeri mengikut senarai dua
perlembagaan persekutuan
"Masukkan tanah dalam senarai bersama Perlembagaan Persekutuan. Bila
kita wujudkan akta dan undang-undang seperti Lembaga Pembangunan Tanah
Persekutuan (Felda).
"Kalau perbadanan sebegini boleh wujud dengan satu akta persekutuan, tak ada masalah," katanya.
Sementara itu, Hasrol berkata sekarang bukan masa untuk mencari pihak yang salah kerana hal itu tidak akan selesai.
Sebaliknya, beliau percaya mekanisme baru dengan kerjasama kerajaan
pusat dan negeri ini dapat menyelesaikan masalah kehilangan tanah rezab
Melayu ini.
"Bukan cara terbaik nak salahkan sesiapa. Sekarang kita kena pertahankan baki tanah dan minta kerajaan siasat di mana tanah ini.
"Kalau nak cari dalang sahaja sampai bila nak selesai?" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan