KELAB GREENBOC
Kenyataan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abdul Rahman yang meletakkan kesalahan terhadap DAP kononnya punca kepercayaan bahawa ‘orang Melayu adalah pendatang’ jelas menunjukkan agenda politik kotor pertubuhan itu yang pro-BN.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pertubuhan itu tidak henti-henti menyalahkan DAP, sedangkan kenyataan tersebut diucap perwakilan Gerakan dalam perhimpunan tahunan parti komponen BN itu di Shah Alam 19 Oktober lalu.
“Apakah jenis manusia atau organisasi ISMA ini yang bersedia untuk menggunakan fitnah jahat sedangkan dalam Islam, fitnah adalah satu dosa besar yang lebih berat daripada membunuh orang?
“Prinsip tidak bermoral dan tidak beretika ISMA terserlah bila mereka berbohong bahawa DAPl yang menyebut orang Melayu pendatang, sedangkan ia disebutkan oleh seorang wakil parti komponen BN, Gerakan,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.
Kata Guan Eng, ISMA kini menjadi ‘pakar’ menukarkan hitam kepada putih dan putih kepada hitam akan terlepas daripada sebarang tindakan sekalipun mengeluarkan ucapan ekstrem yang menggugat ketenteraman awam dan menanam kebencian terhadap golongan bukan Islam,
Beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak hanya beretorik dengan agenda wasatiyah (kesederhanaan), dalam masa sama membisu tanpa sebarang tindakan.
Malah, dalam sebuah simposium di Bangi semalam Presiden ISMA Abdullah Zaik membuktikan agendanya yang benci golongan anti-bukan Islam dengan kenyataan terus terang untuk melawan kafir, yang merupakan satu perkembangan baru yang amat bahaya.
“Adakah Menteri Dalam Negeri atau Ketua Polis Negara akan bertindak terhadap ISMA?
“Kegagalan mereka menjadikan Najib sunyi keseorangan dengan ayat-ayat manis wasatiyyah yang hanya merupakan omong kosong,” ujar Guan Eng.
Henti gelar-menggelar, bina budaya hormat dan persefahaman
Namun, beliau menghargai kenyataan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, yang menyeru masyarakat Malaysia menghentikan tabiat gelar-menggelar seperti memanggil ‘pendatang’ dan ‘penceroboh’.
Dr Mohd Parid berkata, Malaysia adalah tanah tumpah darah termasuk orang bukan Melayu dan bukan Islam, kerena turut bersama menyumbang pembangunan negara dengan jiwa raga mereka.
Manakala imej Islam sebagai agama damai dan dialog harus dikekalkan dan unsur-unsur ugutan, amalan, dan hasutan yang semakin berleluasa pada hari ini mesti dibanteras.
Justeru itu kata Guan Eng, rakyat di negara ini seharusnya memberi fokus kepada usaha mencetuskan suasana saling hormat-menghormati dan memupuk persefahaman antara kaum dan agama.
“DAP percaya bahawa majoriti besar rakyat Malaysia mahu hidup dangan aman dan damai dan tidak berminat dalam usaha lawan-melawan diantara Islam dan bukan Islam menerusi sentimen dan perjuangan melawan kafir,” ujar Guan Eng.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan