Rabu, 29 Oktober 2014

Najib patut bagi medal kepada Wahidah

MSO

Kediaman Wahidah dibakar. 


Saya sungguh terkesima melihat gambar sebuah rumah milik setinggan kampung Chubadak yang dibakar hangus oleh aparat seperti dipaparkan dalam Malaysiainsider malam tadi. Mata saya tanpa disedari tiba-tiba digenangi air jernih apabila melihat gambar api sedang memamah rumah setinggan itu. Genangan menjadi berat apabila terpandang pula pemiliknya, Wahidah Mat Salleh, 73 yang kesayuan melihat rumahnya dibakar tanpa bisa berkata-kata lagi.


Wahidah mampu melihat
Rumah Wahidah itu dikatakan rumah terakhir yang dimusnahkan oleh aparat, setelah lebih 160 buah rumah lain sudah lenyap dan hilang dari bumi kampung Chubadak, Sentul Kuala Lumpur. Beliau merupakan satu-satu pemilik dan penduduk kawasan setinggan dibangunkan lebih 50 tahun itu yang bertahan hingga ke saat akhir.

Sebelum ini rumah asalnya sudah pun dimusnahkan oleh pihak berkuasa, tetapi ia dibina semula secara gotong royong oleh para aktivis mahasiswa yang simpati dengan nasibnya. Orang ramai yang bersimpati dengan nasibnya menghulur derma untuk tujuan itu.

Semalam aparat terus menjadi keparat, bertindak membakar untuk memusnahkan tempat tinggal Wahidah agar ia bebas untuk dibangunkan dengan projek yang sudah dirancang.

Semua orang menerima hakikat, aparat atau pihak berkuasa adalah berkuasa dengan kuasa yang ada. Apakah tindakan pihak berkuasa itu adil atau tidak, ia subjektif. Tetapi yang pastinya tindakan meroboh dan membakar rumah Wahidah itu dibuat dengan kuasa yang ada kandatipun naluri yang diberi tugas itu tidak mahu melaksanakannya.

Apa yang berlaku dan menimpa Wahidah itu adalah lambang kepada kerakusan pihak berkuasa dan betapa kecil dan kerdilnya rakyat dalam mempertahankan hak. Begitulah nasib orang miskin, tidak berduit dan tidak mampu untuk membayar bagi melindungi dirinya. Orang miskin dalam segala hak tidak bernasib baik.

Saya yakin kalau Wahidah kaya raya dan mempunyai wang dia akan dapat menyelamatkan kediamannya. Dia akan menawarkan wang kepada DBKL yang berkuasa ke atas tanah itu dengan harga lebih tinggi daripada pulangan keuntungan yang dikira DBKL jika tanah itu dibangunkan secara komersil.

Khemah sementara untuk Wahidah berlindung dibina.
Tetapi kerana dia miskin, seorang setinggan, apa lagi hukum Allah tidak lagi menjadi perhitungan, maka Wahidah terpaksa melepas kepunyannya begitu sahaja penuh kepiluan dan apa yang mampu dibuat hanya melihat dan merenung dengan sejuta kedukaan. Walhal kalau mengikut hukum dan peraturan Allah bumi ini adalah untuk semua manusia tanpa mengira siapa mereka itu. Tetapi pemerintah moden genetik Firaun kini jarang atau tidak lagi mengambil kira apa yang Allah anjurkan.

Saya tidak mahu mencatat panjang di sini cuma ingin memberi tahu kepada Perdana Menteri Mohd Najib Razak agar menghargai semangat dan kegigihan Wahidah dalam mempertahankan hak dan hartanya. Semangat teguh dan keberanian yang ada kepada wanita itu patut dipuji dan dijadikan contoh. Seandai bangsa Melayu negara ini bersemangat seperti beliau nescaya tidak akan ada seinci pun bumi ini akan terlepas kepada orang asing.

Eloklah kalau Najib menemui Wahidah memberikan medal sanjungan sebagai mengkaguminya dan menghargai jiwa beraninya. Wahidah bukan degil tetapi dia berjiwa besar sebagai bangsa Melayu. Apa dilakukannya, mempertahankan hak itu satu ibadat dan pengorban.

Sebaik-baik medal untuk beliau ialah menyediakan kediman yang istimewa kepadanya, setidak-tidak lebih selesa daripada rakan-rakannya (setinggan) yang sudah mendapat habuan dan tawaran rumah pengungsian daripada syarikat yang diberikan tanah itu untuk dimajukan, tanpa sanggup mempertahankan hak ke titisan keringat terakhir. Orang berani, ikhlas dan jujur patut disanjungi.

Orang seperti Wahidah yang patut diharga kerana ia menjadi lambang keberanian dan keutuhan jiwa Melayu sejati. Apa lagi Najib, carilah dan jumpalah Wahidah seorang lagi serikadi sejati negara dan telah menjadi ikon keberanian. Dan saya percaya kes Wahidah ini akan mendapat perhatian daripada perdana menteri, kerana Najib pemimpin yang memandang ke bawah.

Catatan: Dua foto ehsan MalaysiaInsider.

Tiada ulasan: