Jumaat, 31 Oktober 2014

Pendakwaan tak jawab isu, sekadar ulang cercaan - Anwar

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pihak pendakwaan hari ini sekadar mengulangi cercaan terhadapnya dan bukan menjawab hujah yang dipersoal pasukan pembelaan.

Katanya, peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dilihat lebih berminat membangkitkan perkara ghairah untuk dijadikan modal serangan media Umno BN.

"Apa yang dilakukannya adalah membangkitkan perkara mengghairahkan untuk Utusan dan TV3.

"Pemahaman saya ke atas amalan (guaman) ini, beliau sepatutnya menjawab isu yang dibangkitkan oleh pembelaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini.

Pagi ini bermulanya penghujahan pendakwaan selepas pihak pembelaan mengemukakan hujah rayuan sejak Selasa lalu sehingga semalam.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan persidangan tengah hari dan akan disambung pada Isnin.

Sementara itu, ketika berucap kepada penyokongnya, Anwar yang juga Ketua Umum PKR melahirkan keyakinan bahawa keadilan akan berpihak kepadanya.

Katanya, biarpun berdepan ulang tayang cercaan terhadapnya dalam hujah pendakwaan, beliau tetap akan bersabar.

"Perjalanan perbicaraan seperti biasa...pihak pendakwaan ulang balik cerita walaupun cercaan itu telah dibuktikan fitnah tetapi kita tetap terus akan sabar.

“Isnin kita akan sambung, insyallah selasa saya akan dibebaskan, doakan sayabakan dibebaskan pada selasa,” katanya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: