Oleh Asri Sapfie
KUALA LUMPUR: Pemain bola sepak negara tidak harus semata-mata mengkagumi kehandalan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, sebaliknya meneladani semangat juang dan disiplinnya.
Pemain lagenda bola sepak tanah air, Santokh Singh, berkata Mokhtar terkenal sebagai pemain yang memiliki semangat juang tinggi dan tidak mudah mengalah setiap kali beraksi.
“Mokhtar juga sangat menitikberatkan disiplin. Sekiranya masa berlatih kami pada jam 5 petang, beliau akan berada di padang seawal jam 4 petang,” katanya kepada Selangor Kini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Malam Penganugerahan 20 pemain veteran bola sepak anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sempena teater ‘Supermokh’ di Istana Budaya antara 8 hingga 21 September 2014
Kehebatan Mokhtar terpapar dalam pementasan teater ‘Super Mokh’ arahan bersama Hans Isaac dan Harith Iskandar yang berkisar perjalanan hidupnya dalam arena bola sepak di Malaysia.
Melalui teater itu, penonton dihidangkan pahit getir yang dilalui Mokhtar sehingga bergelar lagenda dan dianggap sebaris dengan bintang handalan luar negara ketika itu.
Teater itu turut disaksikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris yang sanggup mencemar duli bagi menonton teater itu bersama ribuan penonton
Santokh juga menyeru kepada pemain supaya tidak menjadikan wang ringgit sebagai faktor mereka bermain sebaliknya mengambil iktibar dari kesungguhan dan semangat yang ditonjol Mokhtar.
Beliau menggesa setiap pemain memperbaiki disiplin, semangat kesukanan dan dedikasi semasa di padang supaya menjadi pemain yang berkualiti.
“Bagi saya, pemain bola sepak sekarang tidak cukup berdisiplin dan dedikasi tinggi baik ketika latihan mahupun di padang.
“Pada hari ini, saya tidak berasa pemain menunjukkan prestasi di tahap optimum,” katanya.
Santokh Singh adalah pemain pertahanan yang digeruni lawan dan bijak menyerap asakan pasukan lawan.
Beliau bergandingan bersama Kapten skuad Malaysia, Datuk Soh Chin Aun yang dianggap serasi hingga menjadikan benteng pertahanan Malaysia kebal dari dibolosi.
No comments:
Post a Comment