Sunday, September 14, 2014

SPRM Periksa Sistem, Tatacara Kerja Kastam

MSTAR ONLINE
 
 
 


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan pemeriksaan ke atas sistem dan tatacara kerja berkaitan pengurusan serta penguatkuasaan barangan bebas cukai oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Datuk Mohamed Yusoff Akope berkata pemeriksaan itu bertujuan memastikan sistem kerja dan penguatkuasaan Kastam dapat dijalankan dengan lebih teliti dan efektif.

Beliau berkata pemeriksaan itu dilakukan di Zon Bebas Cukai seluruh negara susulan operasi khas SPRM baru-baru ini.

"SPRM yakin sistem dan prosedur Kastam akan bertambah baik demi mengelak ruang dan peluang rasuah serta penyelewengan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Selain itu, Mohamed berkata pihaknya telah mengadakan Bengkel Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) bersama Kastam di zon utara, selatan, timur, tengah, Sabah dan Sarawak sejak awal tahun ini.

Bengkel itu bertujuan memberi penekanan terhadap sistem dan prosedur penguatkuasaan keluar masuk barangan di pintu masuk utama negara iaitu pelabuhan, sempadan dan lapangan terbang yang diwartakan kerajaan.

"SPRM yakin langkah ini akan membantu Kastam mengatasi kes-kes penyeludupan yang mendapat perhatian banyak pihak sekarang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed memuji usaha Kastam untuk melakukan rombakaan besar-besaran melibatkan 13,000 anggota dan pegawainya di seluruh negara.

Langkah proaktif itu akan memantapkan pengurusan pihak berkuasa itu selain dapat memelihara intergriti kakitangan jabatan berkenaan, katanya.

No comments: