Oleh NURUL IZZAH ANWAR |
Lembaga Peperiksaan telah mengumumkan bahawa kertas soalan UPSR bagi subjek Sains 018, 028 dan 038 telah bocor, menyebabkan sebanyak 473,175 murid tahun 6 yang sedang menduduki peperiksaan tersebut terkesan.
Peperiksaan tersebut dilaporkan ditunda sehingga 30 September yang akan datang; mengikut rancangan awal UPSR sepatutnya berakhir hari ini.
Sumber Kementerian Pendidikan dipetik berkata, “peperiksaan tersebut ditangguhkan ke 30 September kerana perlu menunggu siasatan pihak berkuasa selain mengambil kira waktu cuti persekolahan yang akan bermula 13 September ini. Dalam tempoh itu juga kementerian perlu merangka kembali soalan baharu bagi kertas Sains berkenaan."
Malah, Astro Awani melalui laman sesawangnya juga mendakwa kertas peperiksaan bagi Matematik turut bocor - dakwaan yang enggan diulas Lembaga Peperiksaan.
Lembaga Peperiksaan Malaysia telah membuat laporan polis tentang insiden kebocoran kertas peperiksaan Sains yang sedang disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi; sementara siasatan dalaman Kementerian belum lagi diumum status dan perinciannya.
Dalam pada itu, kita masih menantikan keputusan jawatankuasa khas yang menyiasat dakwaan kebocoran kertas peperiksaan SPM 2013 yang diwujudkan Kementerian Pendidikan pada tahun lepas. Keputusan serta hasil siasatan jawatankuasa tersebut wajib dipapar kepada umum.
Kementerian Pendidikan bersama Lembaga Peperiksaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kebocoran-kebocoran ini. Permohonan maaf tidak memadai; dan sebuah pasukan sepatutnya dibentuk untuk mengenalpasti sumber kebocoran - dengan transparen dan bertanggungjawab. Lembaga juga seharusnya merangka sebuah prosedur untuk memastikan sekiranya perkara ini berlaku lagi, sebuah pelan kontigensi dapat digerakkan untuk memastikan peperiksaan berjalan dengan lancar - contohnya menerusi set kertas peperiksaan alternatif.
Lembaga Peperiksaan sepatutnya mengambil iktibar daripada sebuah kejadian yang pernah berlaku di Untied Kingdom; AQA telah memberikan set soalan alternatif untuk digunakan dalam peperiksaan A-Levels di United Kingdom apabila didapati set soalan asal dalam peperiksaan Pengajian Perniagaan telah bocor.
Dalam sebuah lagi kes yang pernah berlaku di Ireland pada tahun 2009, sebuah peperiksaan Bahasa Inggeris hanya ditangguhkan sebanyak 3 hari, apabila soalan peperiksaan tersebut didapati bocor.
Soalan alternatif diberikan kepada lebih 50,000 pelajar setelah seorang petugas peperiksaan telah tersalah membocorkan soalan sehari sebelum peperiksaan itu diambil.
Penangguhan peperiksaan adalah suatu penganiayaan kepada anak-anak sekolah yang bertungkus-lumus membuat persediaan untuk peperiksaan tersebut; termasuklah keluarga mereka yang terkesan.
Kementerian Pendidikan dan Lembaga Peperiksaan sepatutnya telah lebih bersedia dalam menangani kemelut ini dan dengan serta-merta mempamerkan kebertanggungjawaban yang menyeluruh dalam menjawab, menyiasat dan respons berkala kepada umum berkait sebarang dakwaan kebocoran - tanpa mengganggu konsentrasi anak-anak yang menduduki sebarang peperiksaan awam, termasuk PT3, UPSR, SPM dan STPM. Kegagalan berterusan hanya memberi justifikasi kepada penggantian menteri.
Penulis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR.
No comments:
Post a Comment