MALAYSIAKINI
Naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata kementerian sepatutnya sudah
menyediakan kertas ujian alternatif bagi peperiksaan Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR) dalam menghadapi kes kebocoran kertas peperiksaan.
Katanya, ia akan dapat memastikan peperiksaan berjalan lancar dan tidak perlu ditunda seperti yang berlaku dalam kes kertas Science UPSR, yang sepatutnya diduduki oleh para pelajar hari ini.
“Penangguhan peperiksaan adalah suatu penganiayaan kepada anak-anak
sekolah yang bertungkus-lumus membuat persediaan untuk peperiksaan
tersebut; termasuklah keluarga mereka yang terkesan.
“Kementerian Pendidikan dan Lembaga Peperiksaan sepatutnya telah lebih
bersedia dalam menangani kemelut ini dan dengan serta-merta mempamerkan
kebertanggungjawaban yang menyeluruh dalam menjawab, menyiasat dan
maklum balas berkala kepada umum berkait sebarang dakwaan kebocoran
(kertas peperiksaan),” katanya.
Langkah itu akan mengelakkan dari mengganggu tumpuan para pelajar yang
akan menduduki peperiksaan, katanya lagi merujuk kepada keputusan
kerajaan menunda tarikh peperiksaan bagi kertas tersebut pada 30
September.
“Kementerian Pendidikan bersama Lembaga Peperiksaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kebocoran ini.
Syak kebocoran kertas peperiksaan lain
“Permohonan maaf tidak memadai; dan sebuah pasukan sepatutnya dibentuk
untuk mengenalpasti sumber kebocoran - dengan telus dan
bertanggungjawab,” katanya yang merujuk kepada permohonan maaf oleh
menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
MP Lembah Pantai itu berkata, lembaga tersebut sepatutnya sudah merangka
pelan kecemasan seperti yang diamalkan di United Kingdom apabila satu
kertas peperiksaan untuk ujian A-Level pada Jun 2006.
“AQA (Assessment and Qualifications Alliance) telah memberikan set
soalan alternatif untuk digunakan dalam peperiksaan A-Level di United
Kingdom apabila didapati set soalan asal dalam peperiksaan Pengajian
Perniagaan telah bocor,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dalam
kenyataannya bimbang lebih banyak kertas ujian UPSR yang turut
dibocorkan.
Malah, kejadian kebocoran kertas peperiksaan bukanlah fenomena baru
dalam peperiksaan awam di negara ini, kata presiden persatuan itu,
Mohammad Fazril Mohd Saleh dalam kenyataannya.
“Tindakan Lembaga Peperiksaan untuk menarik semula soalan peperiksaan
mata pelajaran Science 018, 028, 038 yang bocor ini merupakan suatu
tindakan yang betul dan wajar walaupun kemungkinan besar banyak lagi
soalan peperiksaan bagi mata pelajaran lain juga turut bocor di media
sosial.
“Kami juga percaya, sekiranya satu kertas peperiksaan telah bocor
soalannya, maka tidak mustahil untuk kebocoran soalan berlaku untuk
kertas-kertas peperiksaan yang lain,” katanya.
Beliau juga menuntut agar siasatan dijalankan dan tindakan dikenakan ke atas pihak terbabit.
No comments:
Post a Comment