PUTRAJAYA - Pemuda PR hari ini membayangkan bahawa Akta Hasutan 1948 bakal diteruskan walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pernah berjanji untuk memansuhkan akta tersebut.
Perkara itu dinyatakan Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad selepas selesai mengadakan pertemuan dengan wakil Kementerian Dalam Negeri bagi berbincang mengenai akta berkenaan di ibu pejabat kementerian itu, di sini.
"Saya bersama kawan PR bertemu dengan wakil pihak kementerian Datuk Awang Din Husain (Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam) hari ini.
"Kita sampaikan memorandum kita dan sudah ada cop terima daripada mereka, kita nyatakan pandangan serta, hasrat kita. Sementara disoal mengenai perkembangan tersebut Datuk Din hanya menjawab tiada perkembangan, kenyataan tersebut disebut beliau berulang kali," ujarnya kepada pemberita.
Pemuda PR sebelum ini ke KDN untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi tujuan itu.
Sementara itu, menurut Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat, satu perbincangan khas akan diadakan pihaknya selepas menerima 'jawapan' daripada wakil KDN itu.
"Tindakan seterusnya kita akan bincang semula, kita akan meneliti apakah langkah yang boleh kita lakukan, kemungkinan satu 'roadshow' akan kita adakan bagi menuntut penjelasan tuntas daripada KDN," katanya.
Mengulas lanjut Suhaizan berkata, perkembangan terbaru itu sangat membimbangkan pihaknya.
"Bila tiada perkembangan tangkapan pun banyak saya sendiri berpandangan itu moodnya barangkali akan diteruskan itu sangat membimbangkan kita," katanya.
Pada 12 Julai lalu, Perdana Menteri pernah berjanji akan memansuhkan Akta Hasutan 1948, selaras dengan program transformasi yang dibawa oleh beliau.
Perdana Menteri turut pendirian pentadbirannya mahu memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment