Oleh : Nasrudin bin Hassan At Tantawi.
1. Pentas politik tanahair kita semakin menarik dengan lahirnya PasMa. Ia kini menjadi bahan
bualan ahli - ahli politik termasuk para penganalisisnya. Justeru PasMa
bukanlah sebuah ngo kebajikan yang lahir atas orientasi kebajikan
seperti Yayasan AMAL, Muslim Care dan lainnya. Juga bukan sebuah ngo
yang diwujudkan untuk memperjuangkan hak rakyat tertindas seperti
Royalti (R) , ANAK dan lainnya. Sebaliknya ia adalah sebuah ngo yang
diluncur ke tengah arus politik tanahair dengan sentimen dan agenda
politik tersendiri.
2. Pertemuan PasMa pada 31 Ogos 2014 di Pustaka Az Zahra Kota Bharu
tempohari jelas mempotraitkan rupa wajah PasMa yang sebenar. Pastinya ia
bukan pertemuan yang merancang strategi dan aktiviti kebajikan
sebagaimana tanggapan setengah pihak terhadap ngo ini. Sebaliknya ia
adalah sebuah pertemuan yang sarat dengan perbincangan dan kritikan
kepada pucuk pimpinan PAS iaitu Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi
Awang. Malah mereka bincang bagaimana untuk menjatuhkan Tuan Guru
Presiden.
3. Pertemuan tersebut turut merencana Plan A dan Plan B sehingga
menelurkan idea perlaksanaan konsep 1 Jamaah 2 Parti. Satu idea yang
membawa maksud menubuhkan sebuah parti baru bagi menggantikan PAS di
dalam Pakatan Rakyat setelah mood pertemuan tersebut dibentuk dengan
satu persepsi kononnya PAS yang sedang diterajui oleh Datuk Seri Tuan
Guru Hj Abdul Hadi Awang mahu bekerjasama dengan UMNO dan dilabel
sebagai Geng UG sementara mereka pula adalah Pro PR. Jika konsep 1
Jamaah 2 Parti itu menjadi kenyataan, barangkali Parti Ummah Sejahtera (
فاس ) akan wujud.
4. Lebih jauh perbincangan mereka ialah strategi untuk menjatuhkan
Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS. Saya difahamkan oleh seorang saksi
yang hadhir dalam pertemuan PasMa pada 31 Ogos 2014 tempohari ,
bagaimana Shaikh Umar Bagharib bin Ali seperti mencabar seorang pemimpin
kanan PAS Pusat yang turut hadhir dalam pertemuan itu, betapa 24 orang
AJK PAS Pusat yang pro mereka (dari 36 orang keseluruhannya) kenapa
tidak boleh menguasai keputusan PAS pusat ? . Menganggap Tuan Guru
Presiden PAS sebagai bodoh siasah dan menyebut bahawa Jawatan Kuasa PAS
Pusat yang ada pada hari ini boleh turunkan Presiden PAS tanpa perlu pun
menunggu muktamar.
5. Seorang peserta yang lain pula menyebut bahawa fokus mesti
dialihkan kepada Setiausaha Agung Musthafa Ali untuk dijatuhkan dengan
maksud jatuh Musthafa Ali maka lemah dan jatuhlah Tuan Guru Presiden.
Fokus dialih kerana disebabkan reputasi Tuan Guru Presiden yang sedang
harum dengan perlantikan sebagai Naib Presiden Persatuan Ulamak Sedunia
tempohari.
6. Sementara resolusi pertemuan itu disampaikan oleh Ust Mohd Taib
Ahmad Setiausaha PasMa. Beliau menegaskan jika AJK PAS Pusat tidak mahu
menurunkan Presiden PAS, maka semua AJK PAS Pusat kita turunkan termasuk
Mohamad Sabu Timbalan Presiden, Naib - Naib Presiden, Dato' Mahfuz Omar
dan semua AJK PAS Pusat kita turunkan semuanya. Kenyataan beliau
berasaskan satu keyakinan bahawa terdapat usaha mahu menubuhkan kerajaan
campuran dengan UMNO di Selangor.
7. Menyentuh soal rahsia parti pula, beliau menyebut bahawa baiah
yang dibuat oleh pimpinan PAS Pusat boleh dilanggar kerana ia dianggap
batil dan melanggar baiah boleh diselesaikan dengan menyembelih seekor
kambing ( sebagai membayar kifarah ). Ucapan resolusi PasMa itu juga
turut menegaskan bahawa Majlis Syura PAS hanya diperalat oleh Musthafa
Ali. Musthafa Ali over rule segalanya, beliaulah Presiden PAS yang
sebenarnya.
8. Penjelasan ini adalah sebahagian dari keseluruhan perbincangan
yang jelas menggambarkan agenda sebenar PasMa . Pertemuan itu menjadi
majlis "membelasah" pimpinan PAS khasnya Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS.
9. PasMa menjadi forum yang akan bergerak secara terbuka ke seluruh
negara dengan membawa agenda tersebut. Himpunan mereka di Pustaka Az
Zahra' menyaksikan kesungguhan mereka mendokong agenda yang
mengatasnamakan usaha menyelamatkan PAS itu. Antara yang mengambil
bahagian berucap dan melontarkan pandangan dalam Perhimpunan PasMa yang
berlangsung di Pustaka Az Zahra Kota Bharu tempohari ialah Ustaz Mohamad
Hussin selaku pengerusi dan menyampaikan ucapan alu - aluan, sementara
penceramah pertama ialah Yb. Dr Hatta Ramli dan penceramah kedua ialah
Dato Phahrolrazi bin Zawawi.
10. Saya melihat tidak mustahil PasMa akan menjadi pintu laluan ke
arah penubuhan parti baru atau serpihan PAS yang bakal dianggotai oleh
mereka yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan PAS sebagaimana sejarah
telah merakamkan penubuhan Hamim dan Berjasa.
No comments:
Post a Comment