MALAYSIAKINI
Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengarahkan lima kilang makanan di negeri
ini ditutup mulai semalam kerana gagal mematuhi peraturan kesihatan.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti
Makanan) Ku Nafishah Ku Ariffin berkata antara kesalahan menjijikkan
dikesan dalam operasi itu ialah najis tikus dibiar melekat pada guni
tepung dan stok makanan mentah dilonggok di hadapan tandas.
"Premis terbabit diarah tutup dalam tempoh 14 hari mengikut Seksyen 11
Akta Makanan 1983 dan pemiliknya harus menjalankan kerja pembersihan
sebelum diperiksa sekali lagi," katanya kepada pemberita di Georgetown.
Beliau berkata premis terlibat ialah kilang kicap, kilang mi, kilang
roti, kilang bawang goreng dan kilang kerepek yang beroperasi di sekitar
Jelutong, Kepala Batas dan Bukit Mertajam.
Sebanyak 16 premis diperiksa iaitu Daerah Timur Laut (dua), Barat Daya
(tiga), Seberang Perai Utara (dua), Seberang Perai Tengah (lima) dan
Seberang Perai Selatan (empat).
Ku Nafishah berkata terdapat juga kes pengusaha menggunakan peralatan
mengadun dan menggoreng makanan yang berkarat selain dibiar melekit
dipercayai tidak dibasuh secara berjadual.
Beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan tiga notis saman berjumlah
RM5,000 atas kesalahan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 2009 dan akan
meneruskan operasi seumpama itu termasuk di kantin-kantin kilang di
negeri ini.
Segelintir pengusaha sedar kesalahan mereka namun mengambil mudah
perkara seumpama itu dan lebih cenderung mengambil sikap menunggu
tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka, katanya.
Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi talian 04-2017277 atau
04-2017278 jika mempunyai aduan berkenaan premis makanan kotor atau
produk makanan rosak di negeri ini.- Bernama
1 comment:
sepatutnya jenama/nama kilang ini didedahkan utk pengetahuan pengguna
Post a Comment