MIRI: Jumlah jenazah mangsa nahas pesawat MH17 yang akan dibawa pulang
Khamis ini mungkin bertambah kepada tiga daripada dua, kata Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul
Karim.
Beliau berkata, ini kerana jenazah anak kapal, Shaikh Mohd Noor
Mahmood, 44, juga telah selesai melalui semua proses dan bergantung
kepada kelulusan pihak berkuasa Belanda untuk dibawa pulang.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, sebelum ini
mengumumkan empat lagi jenazah telah dikenal pasti sebagai rakyat
Malaysia dan dua iaitu jenazah Muhammad Afzal Tambi, 17, dan adiknya
Marsha Azmeena, 15, telah mendapat kelulusan untuk dibawa pulang Khamis
ini.
Rohani berkata, jenazah seorang lagi rakyat Malaysia yang telah dikenal
pasti iaitu Liew Yau Chee, 38, masih dalam proses dokumentasi.
Sementara itu, Rohani berkata Malaysia Airlines (MAS) sudah mula
menghubungi waris keluarga mangsa untuk proses pengecaman barang-barang
milik mangsa.
"Sebaik barangan milik mangsa ditemui, MAS terus menghubungi keluarga
mangsa dan memberi gambar barangan itu untuk proses mengenal pasti,"
katanya kepada pemberita di sini.
Rohani berkata, beliau akan bertemu 10 waris mangsa esok untuk membincangkan soal bantuan yang boleh diberikan kepada mereka.
"Ini untuk membantu waris mangsa meneruskan hidup dari segi
persekolahan anak-anak mereka, kebajikan, kerja dan sebagainya,"
katanya.
No comments:
Post a Comment