Monday, September 15, 2014

KJ: 45% pengundi muda takkan tolak BN

MALAYSIAKINI



 
 
 
Pemuda Umno yakin 45 peratus pengundi muda di Pengkalan Kubor akan terus memilih BN dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 25 September ini.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata, pengundi muda jelas tahu apa yang dilakukan BN ketika allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar menjadi wakil rakyat DUN itu sejak tiga penggal lalu, lapor Bernama.

"Alhamdulillah saya lihat semua pengundi muda ini mengenali calon BN, (Mat Razi Mat Ail) yang mampu membawa kesinambungan allahyarham dan mengambil berat masalah mereka.

"Mereka tahu jasa allahyarham semasa menjadi wakil rakyat telah banyak membuat perubahan dan jika bukan jasanya tidak ada apa-apa sebenarnya di Pengkalan Kubor,” beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi Pengkalan Kubor di Tumpat, hari ini.

Turut hadir pada program itu adalah calon BN Mat Razi.

Menteri belia dan sukan itu berkata, daripada beberapa pertemuan dengan golongan itu, mereka mahukan pembangunan lebih menyeluruh termasuk peluang ekonomi yang boleh disertai.

Menurutnya hasrat golongan itu yang mahukan lebih banyak gelanggang futsal umpamanya akan diberi perhatian asalkan ada tapaknya.

"Masalah utama adalah tanah kerana ini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Apa pun kita jamin untuk bina juga gelanggang itu," beliau dipetik sebagai berkata oleh agensi berita nasional.

'Tanpa wakil BN, P Kubor ketinggalan'

Sementara itu, Bernama juga melaporkan, sejak 2001, bermula dengan Rancangan Malaysia ke-8 (RMK-8) sehingga RMK-10 yang berakhir tahun depan, kerajaan pusat membelanjakan lebih RM155 juta untuk pelbagai projek pembangunan fizikal dan sosial di DUN itu.

Bernama juga melaporkan, tanpa wakil rakyat BN, Pengkalan Kubor hanyalah sebuah kawasan yang ketinggalan daripada pelbagai aspek.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dipetik sebagai berkata, sebanyak 36 buah projek pembangunan dilaksanakan kerajaan pusat dalam tempoh 13 tahun.
 

No comments: